Skip to main content

Dunia

‘Ekonomi lebih baik, kurang penipu’: Harapan tinggi rakyat Thai di tengah-tengah pilihan raya kilat

Selepas bertahun-tahun menghadapi ketidaktentuan politik dan gabungan yang rapuh, rakyat Thailand keluar mengundi pada Ahad (8 Feb) dalam satu pilihan raya umum yang mungkin menyaksikan negara itu memperoleh perdana menteri keempatnya dalam tempoh tiga tahun - dengan ramai menyuarakan harapan untuk masa depan yang bebas rasuah, ekonomi yang lebih baik dan “kurang bilangan penipu”.
Anggaran Waktu Membaca:
‘Ekonomi lebih baik, kurang penipu’: Harapan tinggi rakyat Thai di tengah-tengah pilihan raya kilat
Orang ramai mengundi semasa pilihan raya umum di sebuah pusat pengundian di Bangkok pada 8 Februari 2026. (Gambar: REUTERS/Patipat Janthong)
BANGKOK: Selepas bertahun-tahun menghadapi ketidaktentuan politik dan gabungan yang rapuh, rakyat Thailand keluar mengundi pada Ahad (8 Feb) dalam satu pilihan raya umum yang mungkin menyaksikan negara itu memperoleh perdana menteri keempatnya dalam tempoh tiga tahun - dengan ramai menyuarakan harapan untuk masa depan yang bebas rasuah, ekonomi yang lebih baik dan “kurang bilangan penipu”.

Kira-kira 53 juta rakyat Thailand layak mengundi dalam pilihan raya tahun ini, yang berlangsung di tengah-tengah ketegangan di sepanjang sempadan darat dengan Kemboja.

Sekitar 60 parti politik mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut, dan para penganalisis meramalkan persaingan tiga penjuru yang sengit antara Parti Bhumjaithai pimpinan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, Parti Rakyat yang progresif, serta jentera politik keluarga Shinawatra, Pheu Thai.

Barisan panjang mula terbentuk di seluruh Bangkok jauh sebelum subuh pada Ahad, dengan ramai pengundi yang memilih untuk tiba lebih awal di pusat-pusat pengundian dan menunggu dengan sabar untuk mengundi. Ada dalam kalangan mereka yang tiba seawal pukul 7.30 pagi - setengah jam sebelum pusat pengundian dibuka secara rasmi.

Di Sekolah Mater Dei, salah satu daripada sekitar 6,500 pusat pengundian di seluruh Bangkok, pakar bedah Veeravorn Ariyakhagorn, 56 tahun, berkata beliau berharap kerajaan Thailand yang baharu akan menumpukan perhatian kepada “pembangunan negara”.

“Apa yang paling saya ingin lihat adalah tiada lagi rasuah di Thailand kerana perkara ini merosakkan masyarakat kita dan menghalang pembangunan,” kata beliau kepada Mediacorp.

“Saya mahu semua rakyat Thailand bekerjasama untuk menjadikan negara ini kukuh dan membangunkannya sebagai anggota ASEAN yang kuat,” tambah beliau.

Seorang lagi pengundi, wanita berusia 31 tahun yang mahu dikenali sebagai Earth, memberitahu Mediacorp beliau berharap “orang baharu” akan mentadbir dan mengubah dasar.

“Kami perlukan kesaksamaan, kerana terdapat banyak perbezaan dalam kalangan rakyat Thailand,” kata Earth.

“Jika kita ada kesaksamaan … kita boleh mempunyai pendidikan yang baik, pekerjaan yang baik dan kehidupan yang baik.”

“EKONOMI YANG LEBIH BAIK, KURANG PENIPU”

Dewan Perwakilan Thailand yang mempunyai 500 kerusi ditentukan melalui satu sistem campuran.

Daripada jumlah itu, 400 kerusi kawasan diputuskan melalui sistem undi terbanyak, manakala baki 100 kerusi senarai parti diagihkan berdasarkan peratusan undi nasional yang diperoleh setiap parti.

Dewan yang baharu dipilih itu kemudian akan memilih perdana menteri baharunya - dengan calon memerlukan sekurang-kurangnya 251 undi untuk memperoleh majoriti mudah.

Para pengundi bukan sahaja memilih Ahli Parlimen, malah turut memutuskan sama ada sebuah perlembagaan baharu perlu digubal.

Setiap pengundi akan menerima tiga kertas undi, dua bagi pilihan raya umum dan satu bagi referendum nasional yang diadakan serentak dengan pilihan raya umum buat pertama kalinya.

Kelulusan referendum itu akan memberikan mandat kepada parlimen yang baharu dipilih untuk menggubal perlembagaan baharu.

Jika tidak, Perlembagaan 2017 sedia ada yang digubal di bawah pemerintahan tentera selepas rampasan kuasa 2014 akan kekal berkuat kuasa.

Di Kuil Wat Tha Thong, barisan pengundi pada awalnya pendek apabila pusat pengundian dibuka, namun bertambah panjang sepanjang pagi, dengan sebahagian pengundi menyuarakan kekeliruan berkaitan kertas undi mereka.

Seorang lagi pengundi, Kanyakorn Jaovisidha, memberitahu Mediacorp bahawa pembaharuan perlembagaan merupakan keutamaan paling penting baginya.

“Saya berharap untuk ekonomi yang lebih baik dan kurang penipu - kita memang terkenal dengan perkara itu,” katanya.

“Saya juga berharap akan ada kurang rasuah.”

Pengundi Wachirapunthu Promprasert berkata Thailand tidak mampu menanggung “lebih banyak gangguan dan pertikaian”, sambil menekankan keperluan kepimpinan yang stabil selepas bertahun-tahun menghadapi ketidakstabilan politik.

“Perkara penting ialah ekonomi, pengalaman dalam mentadbir negara dan usaha untuk memperbaiki beberapa masalah yang sedang kita hadapi,” kata beliau.

“Saya berharap selepas pilihan raya ini, kita dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan bergerak ke hadapan. Kita sudah terlalu lama berdepan dengan pertikaian dan isu politik yang tidak diselesaikan.”

Bagi lulusan universiti berusia 23 tahun, Shanachan Sothornjenvit, peluang dan prospek kerjaya menjadi pertimbangan utamanya dalam membuat pilihan di peti undi. Sebuah kerajaan yang kuat dan mengutamakan keperluan golongan muda Thailand adalah penting.

“Saya sebahagian daripada generasi baharu dan ia sangat sukar untuk mendapatkan pekerjaan,” kata beliau.

“Ekonominya lemah - gaji tidak setara dan (tanpa) pengalaman, sukar untuk anda mendapat gaji lebih tinggi (walaupun) di syarikat-syarikat besar,” tambah beliau.

Pusat-pusat pengundian dijadual tutup pada pukul 5.00 petang waktu tempatan dan keputusan awal tidak rasmi dijangka diumumkan lewat Ahad malam.

Pengundian awal bermula pada 1 Februari, dengan 2.2 juta orang sudah mengundi. Para pegawai pilihan raya berkata sekitar 87 peratus pengundi berdaftar yang layak mengundi awal sudah mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita