Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ekonomi gagal diurus, pilihan raya umum elok diadakan, kata mantan PM M'sia Muhyiddin

Anggaran Waktu Membaca:
Ekonomi gagal diurus, pilihan raya umum elok diadakan, kata mantan PM M'sia Muhyiddin

Muhyiddin Yassin. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menganggap bahawa terdapat keperluan untuk penggantinya, Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen secepat mungkin bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan yang lebih berkesan.

Dalam catatan terbaru di laman media sosialnya dipetik Astro Awani, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu menegaskan bahawa apa yang dilihat beliau ialah situasi pengurusan ekonomi dan negara pada masa kini yang agak meruncing.

Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata bahawa terdapat beberapa perkara yang telah dibangkitkan oleh MPN tetapi hal itu seperti tidak dipandang serius oleh Ismail Sabri serta barisan jemaah Menteri.

“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen."

“Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” tegas Muhyiddin.

Astro Awani selanjutnya menukil Muhyiddin sebagai berkata bahawa setiap kali mesyuarat MPN diadakan, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet, namun, belum ada penyelesaian yang komprehensif bagi isu tersebut.

Beliau berkata bahawa isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius dan Perdana Menteri Ismail Sabri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

“Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. Seolah-olah semuanya baik. Saya tahu tidak semuanya ok di luar sana."

“Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan. Tahun lalu, nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion (S$19 bilion). Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal. Is this, okay? No, it is not okay,” tegasnya lagi.

Tambah Muhyiddin lagi, mungkin itu menjadi punca mengapa hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri pada masa ini sementara hanya 18 peratus rakyat berpuas hati dengan pengurusan ekonomi negara.

“Sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, saya telah mengarahkan jentera parti supaya terus membantu rakyat yang susah termasuk mengedarkan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan dan menganjurkan Program Jualan Prihatin yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga yang murah."

“Pada masa yang sama, Barisan Nasional sedang menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata bahawa kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik, jelas telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat

Beliau telah menyuarakan kebimbangan dan mengemukakan beberapa cadangan MPN kepada kerajaan, termasuk pelaksanaan semula moratorium untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan.

“Banyak lagi perakuan yang dikemukakan oleh MPN untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara termasuk mempercepatkan proses pemulihan dalam sektor pelancongan, memudah cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing."

“Banyak perniagaan atau perusahaan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi kerana kekurangan tenaga kerja. Industri menanggung rugi dan pemulihan negara terencat kerana masalah ini,” tegasnya lagi, menurut Astro Awani.

 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan