Skip to main content

Dunia

ECRL mampu atasi kesesakan jalan raya musim perayaan, kata Menteri Pengangkutan M'sia

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Masalah kesesakan jalan raya setiap kali musim perayaan khususnya ke pantai timur dijangka dapat diselesaikan selepas Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap pada penghujung 2026.

Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong berkata tempoh masa perjalanan ke wilayah berkenaan ketika ini yang mengambil masa lebih tujuh jam akan menjadi lebih singkat iaitu sekitar empat jam.

"Untuk jalan balik ke pantai timur (perayaan) memang jauh lebih sesak daripada biasa, jadi ini mungkin dapat diselesaikan dengan pembinaan ECRL yang dijangka siap akhir 2026.

"Jadi (dengan ECRL) mereka yang hendak balik ke wilayah sana hanya memerlukan empat jam sahaja dan macam Terengganu dahulu tiada kereta api tetapi sekarang sudah ada. Ini akan membantu rakyat di wilayah-wilayah berkenaan," katanya kepada para pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi di Saujana hari ini (3 Mei).

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) yang melibatkan 59 terowong itu dianggarkan RM50.27 bilion (S$15.98 bilion) dan merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Sementara itu, Dr Wee berkata situasi hampir di kesemua jalan utama seluruh negara terkawal meskipun berlaku kesesakan di kebanyakan negeri namun setakat ini tiada kemalangan dahsyat dilaporkan berlaku.

Beliau berkata selain daripada menyekat kenderaan berat memasuki jalan utama dan persekutuan, situasi terkawal itu juga didorong dengan pemberian tol percuma serta kempen keselamatan jalan raya yang dilakukan kerajaan.

"Kita menyekat kenderaan berat di jalan utama dan jalan persekutuan kerana apabila dicampuradukkan kenderaan biasa dan berat, ini menyebabkan orang tidak sabar menunggu, mereka potong dan itu yang akan mengakibatkan kemalangan," katanya.

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita