Skip to main content

Dunia

ECRL Fasa 1 Kota Bharu-Gombak disasar mula beroperasi Disember, lebih awal daripada jadual

Anggaran Waktu Membaca:
ECRL Fasa 1 Kota Bharu-Gombak disasar mula beroperasi Disember, lebih awal daripada jadual

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke (dua dari kanan) berkata ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak disasarkan mula beroperasi pada Disember ini. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Aug 2026 07:30PM
  • Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak dijangka mula beroperasi Disember ini, lebih awal daripada jadual asal.
  • Proses ujian dan pentauliahan sedang dipercepat oleh MRL, CCCC dan APAD, namun aspek keselamatan tetap diutamakan tanpa kompromi.
  • Fasa 1 projek ECRL kini telah siap 95.08 peratus, manakala Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap Disember 2027 dan beroperasi Januari 2028.
  • Pelbagai ujian termasuk SIT dan FFR dilaksanakan untuk memastikan operasi memenuhi piawaian keselamatan dan undang-undang sebelum perkhidmatan dimulakan.
Dijana oleh AI
GOMBAK: Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak disasarkan mula beroperasi pada Disember ini, sebulan lebih awal daripada jadual asal pada Januari 2027.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata sasaran itu bergantung kepada kelancaran proses ujian dan pentauliahan yang sedang dilaksanakan, tanpa sebarang kompromi terhadap aspek keselamatan.

Beliau berkata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kontraktor utama China Communications Construction Company Ltd (CCCC) perlu berusaha mempercepat proses tersebut supaya perkhidmatan dari Kelantan ke Selangor dapat dimulakan menjelang cuti hujung tahun.

Encik Loke berkata kerajaan Malaysia sedang melihat bagaimana Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh membantu memudahcarakan proses ujian dan pentauliahan bagi mempercepatkan projek tersebut.

Menurut beliau, proses itu biasanya mengambil masa antara dua hingga tiga bulan dan pihak berkuasa sedang meneliti sama ada tempohnya boleh dipendekkan.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Kereta Api Pemeriksaan Menyeluruh (CIT), pengenalan konsep reka bentuk stesen-stesen utama ECRL serta permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Ujian Tanpa Kegagalan (FFR) Projek ECRL di Stesen Terminal Bersepadu Gombak pada Jumaat (14 Ogos).

UJIAN KESELAMATAN TIDAK DIKOMPROMI

Encik Loke berkata usaha mempercepat operasi dibuat selepas mengambil kira pelbagai ujian terhadap kereta api yang sudah dilaksanakan sebelum ia dihantar ke Malaysia, termasuk ujian di kilang di China.

SIT ECRL yang bermula bulan ini akan menguji integrasi pelbagai sistem, termasuk bekalan elektrik dan sistem isyarat, sebelum FFR dilaksanakan pada September.

Menurut Encik Loke, set tren pertama dan lokomotif elektrik atau E-Loco masing-masing perlu menjalani FFR sejauh 8,000 kilometer di bawah kawal selia APAD.

Ia bagi memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan operasi memenuhi piawaian serta keperluan undang-undang yang ditetapkan.

FFR merupakan antara proses penting sebelum operasi komersial kerana kereta api akan bergerak di landasan dalam keadaan sebenar tetapi tanpa membawa penumpang.

Encik Loke menegaskan semua ujian terdahulu perlu diselesaikan dan diluluskan sebelum FFR dilaksanakan.

Justeru, usaha mempercepat proses tersebut tidak bermakna mana-mana aspek keselamatan akan diketepikan.

FASA 1 SUDAH 95.08% SIAP

Projek ECRL kini mencatat kemajuan keseluruhan 95.08 peratus setakat Julai bagi Fasa 1 yang menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak.

Fasa 2 yang menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027.

Operasi bagi Fasa 2 dijadualkan bermula pada Januari 2028.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita