Ebrahim Raisi diramal menang Pilihan Raya Presiden Iran
Seorang hakim berfahaman tegar diramalkan memenangi Pilihan Raya Presiden Iran yang berlangsung hari ini (18 Jun).

Seorang penyokong memegang kad dengan gambar Encik Ebrahim Raisi. (Gambar: AFP)
TEHRAN: Seorang hakim berfahaman tegar diramalkan memenangi Pilihan Raya Presiden Iran yang berlangsung hari ini (18 Jun).
Namun ramai pengundi Iran dijangka mengabaikan pilihan raya itu kerana tidak puas hati dengan keadaan ekonomi yang buruk dan pemerintahan yang tegar.
Lebih 59 juta rakyat Iran layak mengundi tetapi tinjauan-tinjauan pendapat menunjukkan hanya 41 peratus akan membuat pilihan mereka.
Hakim berfahaman tegar, Ebrahim Raisi yang merupakan sekutu rapat pemimpin ulung, Ayatollah Ali Khamenei, dijangka menang.
Sekiranya dipilih, Hakim Raisi bakal menjadi Presiden Iran yang pertama dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat.
Beliau didakwa terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai tahanan politik dalam tahun 1988.
Saingan utama beliau adalah mantan Ketua Bank Pusat, Abdolnasser Hemmati yang berfahaman sederhana.
Semasa diwawancara akhbar Financial Times, Encik Hemmati berkata beliau tidak menolak kemungkinan berunding dengan Presiden Joe Biden tetapi bergantung kepada sikap dan tindak-tanduk Amerika.
Menurut Encik Hemmati, jika dipilih, beliau akan berusaha agar sekatan-sekatan terhadap Iran ditarik balik, sesuatu yang katanya amat penting.
Para pemimpin Iran memang berharap agar sekatan-sekatan antarabangsa itu ditarik balik kerana telah menjejas teruk ekonomi negara Teluk itu.
Namun mereka juga menunjukkan ketabahan untuk menghadapi tekanan dari luar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.