Ebit Lew sekali lagi dipanggil polis rakam keterangan kes gangguan seksual
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya memanggil semula seorang pendakwah bebas terkenal pada Khamis (30 Sep) untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes gangguan seksual.

(Gambar: Instagram/Ebit Lew)
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya memanggil semula seorang pendakwah bebas terkenal pada Khamis (30 Sep) untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes gangguan seksual.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata turut dipanggil ialah isteri pendakwah itu.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis,” menurutnya dalam kenyataan hari ini (1 Okt).
Utusan Malaysia melaporkan Encik Abd Jalil Hassan mengesahkan kepada akhbar itu bahawa Ebit Lew hadir bersama isterinya bagi membantu siasatan.
"Kita memanggil beliau sekali lagi bagi memenuhi keperluan untuk melengkapkan siasatan," kata Encik Abd Jalil menurut laporan Utusan.
Laporan The Star dan Sinar Harian juga mengenal pasti individu terbabit sebagai Ebit Lew.
Sebelum ini, pendakwah itu pernah hadir ke Bukit Aman untuk diambil keterangan berkaitan kes tersebut dan beliau disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada 19 Ogos lalu.
Pada 22 September pula, tular video dan mesej lucah di aplikasi Telegram yang didakwa adayai kaitan dengan pendakwah itu.
Susulan itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.