Skip to main content

Dunia

Ebit Lew didakwa dengan 11 tuduhan di mahkamah; mengaku tidak bersalah

Pendakwah terkenal itu mengaku tidak bersalah atas 11 tuduhan berkaitan gangguan seksual.

Anggaran Waktu Membaca:
Ebit Lew didakwa dengan 11 tuduhan di mahkamah; mengaku tidak bersalah

Pendakwah terkenal Ebit Lew tiba di Mahkamah Litar Tenom hari ini. (Gambar: Petikan skrin video BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Feb 2022 02:12PM


TENOM: Pendakwah terkenal Ebit Lew didakwa di Mahkamah Litar Tenom hari ini (18 Feb) atas 11 tuduhan, termasuk berhubung gangguan seksual.

Bagaimanapun, Ebit Lew mengaku tidak bersalah atas 11 tuduhan berkaitan gangguan seksual itu sejurus dihadapkan di mahkamah tersebut, seperti dipetik menerusi laporan Utusan Malaysia.

Ebit, 37 tahun, didakwa atas semua tuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bercakap kepada Kosmo! Online, Ebit berkata tuduhan itu merupakan bentuk dakwaan yang "tidak berasas serta dirancang pihak tertentu" bagi menghentikan usahanya dalam melakukan aktiviti kebajikan untuk mereka yang memerlukan.

“Saya yakin dan percaya, tuduhan itu dibuat oleh satu kumpulan yang merancang untuk mengenakan saya.

“Saya baru tahu beberapa hari lalu ketika membuat kerja amal di Sabah, agak terkejut juga. Saya bukannya datang ke Sabah untuk hal itu (didakwa di mahkamah).

“Saya yakin tidak bersalah dan akan lalui ujian ini sebaiknya. Saya serahkan semua hal kepada peguam dan gembira lalui situasi ini di mahkamah,” ujar beliau, dalam petikan laporan Kosmo! Online.

Pendakwaan itu dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli.

Ebit pula diwakili peguam, Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Majistret Nur Asyraf Zolhani menetapkan 20 hingga 23 April ini sebagai tarikh penyerahan dokumen.

Tarikh perbicaraan secara tentatif pula ditetapkan pada Jun ini.

Dalam nukilan Utusan Malaysia, Ebit dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 (S$320) bagi setiap tuduhan dengan dua penjamin.

Sebelas tuduhan yang dibuat terhadap Ebit terdiri daripada membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Encik Abd. Jalil Hassan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, kesemua tuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di Tenom, Sabah antara bulan Mac sehingga Jun tahun lalu terhadap seorang wanita.

“Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan prosiding perbicaraan berjalan lancar,” kata beliau.

Awal dari itu, Ebit yang berada di Sabah bagi menjalankan kerja amal tiba di Mahkamah Litar Tenom pada pukul 9.00 pagi tadi dengan menaiki kenderaan Toyota Vellfire, dengan ditemani sekumpulan individu lain.

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita