Skip to main content

Dunia

Duterte arah faedah pekerja jagaan kesihatan dibayar

Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengarahkan kementerian-kementerian kesihatan dan kewangan mengatur bayaran bagi para pekerja jagaan kesihatan yang belum menerima faedah mereka tepat pada masanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Duterte arah faedah pekerja jagaan kesihatan dibayar

Gereja Hospital Besar Bandar Quezon ditukar menjadi sebuah wad COVID-19 di tengah-tengah lonjakan kes di Bandar Quezon, Metro Manila, Filipina, pada 20 Ogos 2021. (Gambar: Eloisa Lopez/REUTERS)

Diterbitkan : 21 Aug 2021 06:28PM Dikemas Kini : 21 Aug 2021 06:31PM

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengarahkan kementerian-kementerian kesihatan dan kewangan mengatur bayaran bagi para pekerja jagaan kesihatan yang belum menerima faedah mereka tepat pada masanya. Ini selepas para jururawat mengancam akan meletak jawatan dan kesatuan-kesatuan pula memberi amaran akan melancarkan mogok.

Pihak hospital bimbang pengabaian tanggungjawab oleh kakitangan perubatan, terutamanya jururawat, mencapai tahap genting tatkala varian Delta menular dengan pantas sehingga menyebabkan lonjakan pada kes jangkitan sebagaimana di Asia Tenggara dan seluruh dunia.

"Bayar mereka. Gunakan wang apa sahaja yang ada," Encik Duterte memberitahu Menteri Kesihatan Franscisco Duque, yang berdepan soalan-soalan melibatkan lebih AS$1 bilion (S$1.3 bilion) dalam perbelanjaan COVID-19 termasuk tidak membayar faedah para pekerja perubatan.

Arahan itu dikeluarkan selepas para pemimpin kesatuan di hospital-hospital, di mana berlaku penularan pantas koronavirus, mengancam pada minggu lalu akan mengadakan mogok.

Sementara itu, kumpulan jururawat menyatakan puluhan pekerja mungkin meletak jawatan kerana tidak menerima elaun risiko dan bayaran mengendalikan bahaya lantas menambahkan tekanan kepada kemudahan yang bergelut dengan masalah kekurangan kakitangan.

Persatuan Hospital Swasta Filipina (PHAPi) menganggarkan 40 peratus jururawat hospital privet meletak jawatan tahun lalu tetapi lebih ramai mengikut jejak yang sama berikutan gelombang baru koronavirus tahun ini. Hospital-hospital awam juga menghadapi cabaran yang sama.

Dalam rakaman ucapan yang disiarkan pada Sabtu (21 Ogos), Encik Duterte juga memberikan masa 10 hari untuk Jabatan Belanjawan dan Pengurusan melangsaikan bayaran faedah yang tertunggak kepada jururawat, doktor dan pekerja jagaan kesihatan lain dalam hospital awam serta swasta.

Jumlah kes COVID-19 di Filipina kini menjangkaui 1.8 juta selepas lebih 18 bulan pandemik itu melanda negara tersebut.

Filipina adalah negara kedua dengan jumlah kes COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara. Ia melaporkan kenaikan kes harian tertinggi pada Jumaat.

Kematian akibat COVID-19 sudah melebihi 31,000 atau kurang dua peratus daripada keseluruhan kes.

Duterte, yang pemerintahnya menghadapi kecaman atas caranya menangani pandemik, berkeras tiada rasuah di kementerian kesihatan. Beliau menegaskan sokongannya kepada Encik Duque dalam responsnya kepada permintaan para pengkritik yang menggesa Menteri Kesihatan itu meletak jawatan.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita