Skip to main content

Dunia

Duterte ancam jel penduduk enggan ambil vaksin

Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengancam akan menghukum penjara penduduk yang enggan menerima suntikan vaksin melawan koronavirus sedang negara itu melaporkan lebih 1.3 juta kes dan lebih 23,000 kematian sejauh ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Duterte ancam jel penduduk enggan ambil vaksin

Presiden Duterte mengambil suntikan vaksin. (Gambar: Divisyen Gambar Presiden menerusi AFP)

Diterbitkan : 22 Jun 2021 09:56AM Dikemas Kini : 22 Jun 2021 09:57AM

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengancam akan menghukum penjara penduduk yang enggan menerima suntikan vaksin melawan koronavirus sedang negara itu melaporkan lebih 1.3 juta kes dan lebih 23,000 kematian sejauh ini.

"Anda pilih - dapatkan vaksin atau saya akan masukkan anda ke dalam jel," tegas Presiden Duterte dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen pada Isnin (21 Jun) selepas beberapa pusat vaksinasi di Manila melaporkan tidak dikunjungi ramai orang walaupun suntikan diberi secara percuma.

Kata-kata Presiden Duterte itu bertentangan dengan para pegawai kesihatan negara bahawa orang ramai digesa mendapatkan suntikan vaksin secara sukarela.

"Jangan salah anggap. Ada krisis di negara ini," kata Presiden Duterte. "Saya cuma marah terhadap penduduk Filipina yang tidak mematuhi pemerintah."

Setakat 20 Jun, pihak berkuasa Filipina sudah selesai memberi suntikan vaksin kedua-dua dos vaksin kepada 2.1 juta penduduk, satu perkembangan yang perlahan dalam mencapai sasaran memberi vaksin kepada 70 juta orang tahun ini di negara yang mempunyai 110 juta penduduk itu.

Dalam ucapan yang sama, beliau meluahkan rasa berang terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selepas seorang pendakwa ICC meminta kebenaran mahkamah untuk menjalankan siasatan penuh ke atas pembunuhan hingga berpuluh-puluh ribu orang berhubung perang dadah di Filipina.

Presiden Duterte, yang pada Mac 2018 membatalkan keanggotaan Filipina dalam perjanjian ICC, mengulangi bahawa beliau tidak akan memberi kerjasama dalam siasatan itu.

Selepas memenangi pilihan raya presiden pada 2016, beliau melancarkan kempen antinarkotik yang meragut nyawa beribu-ribu orang awam.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mendakwa pihak berkuasa membunuh suspek dadah tanpa mengikut undang-undang tetapi Presiden Duterte berkata mereka dibunuh kerana menentang daripada ditahan.

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita