Duta Lubnan ke Jordan letak jawatan berhubung 'kecuaian' pemerintah
Duta Lubnan ke Jordan, Tracy Chamoun, pada Khamis (6 Ogos) mengumumkan peletakan jawatannya menyusuli letupan dahsyat yang memusnahkan kawasan tengah Beirut, dan mengatakan 'kecuaian besar' pihak berkuasa negara itu memberi isyarat perlunya perubahan kepimpinan.

Tracy Chamoun. (Gambar: Tracy Chamoun/Twitter)
BEIRUT: Duta Lubnan ke Jordan, Tracy Chamoun, pada Khamis (6 Ogos) mengumumkan peletakan jawatannya menyusuli letupan dahsyat yang memusnahkan kawasan tengah Beirut, dan mengatakan 'kecuaian besar' pihak berkuasa negara itu memberi isyarat perlunya perubahan kepimpinan.
Peletakan jawatan itu adalah yang kedua oleh pegawai Lubnan sejak letupan besar mengorbankan hampir 150 orang, mencederakan sekurang-kurang 5,000 mangsa dan memusnahkan keseluruhan daerah-daerah di ibu kota itu pada Selasa.
Ahli Parlimen Marwan Hamadeh turut meletak jawatan Rabu menyusuli letupan itu yang menurut pihak berkuasa tercetus daripada satu kebakaran yang meletupkan 2,750 tan ammonia nitrat yang disimpan secara cuai di sebuah gudang di pelabuhan Beirut.
Dalam kenyataan disiarkan stesen penyiaran Lubnan MTV, Cik Chamoun berkata, beliau 'tidak mampu untuk terus bertahan' dengan ketidakcekapan pemerintah.
"Saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai duta... sebagai bantahan terhadap kecuaian pemerintah, pencurian dan penipuan.
"Bencana ini menunjukkan: kami tidak sepatutnya tunjuk belas kasihan kepada mereka dan mereka semua mesti diganti," tambahnya.
"Ini adalah kecuaian besar."
Pentadbiran negara itu sekian lama didakwa tidak cekap dan menerima rasuah, selain menjadi sasaran tunjuk perasaan mulai Oktober tahun lalu, yang mendesak perubahan sistem.
Negara Mediterranean yang kecil itu dicengkam krisis ekonomi terburuk sejak perang 1975-1990 yang mendorong sentimen anti pemerintah.
Sejak Selasa, ramai rakyat Lubnan meluahkan kemarahan akibat letupan yang disifatkan gambaran paling mengejut tentang kepimpinan mereka yang tidak cekap.
Ramai mempersoalkan bagaimana kargo besar mengandungi bahan amat mudah meletup ammonia nitrat itu dibiarkan tanpa dilindungi di bandar itu selama bertahun-tahun.
Peletakan jawatan Cik Chamoun itu dibuat sejurus pendakwa Lubnan memaklumkan penahanan 16 kakitangan pelabuhan berhubung letupan itu, membabitkan pegawai pelabuhan dan kastam dahulu dan sedia ada serta pekerja penyenggaraan dan pengurus mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.