Duta China kecam rancangan kembalikan pemilikan Pelabuhan Darwin kepada Australia
Duta China ke Canberra mengecam hasrat pemerintah Australia untuk mengembalikan pemilikan Pelabuhan Darwin kepada pihak tempatan, dengan menyatakan bahawa syarikat China yang mengendalikan pelabuhan strategik di utara negara itu tidak sepatutnya dihukum.
Pelabuhan Darwin yang terletak di Darwin, Australia, pada 21 April 2017. (Gambar fail: Reuters/Tom Westbrook)
Perdana Menteri Anthony Albanese berkata pada April lalu semasa kempen pilihan rayanya bahawa pemerintah sedang merangka rancangan untuk memaksa penjualan Pelabuhan Darwin daripada pemilik China atas alasan kepentingan negara.
Australia menjual pelabuhan komersil itu dengan pajakan selama 99 tahun kepada syarikat China, Landbridge, pada 2015, satu langkah yang pernah dikritik Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Barack Obama. Kira-kira 2,000 anggota Marin Amerika Syarikat menjalani latihan selama enam bulan setiap tahun di bandar utara itu.
Duta Besar Xiao Qian berkata bahawa Landbridge Group sudah melabur dalam pelabuhan tersebut dan menyumbang kepada ekonomi tempatan, menurut kenyataan yang dikeluarkan kedutaan China pada Ahad (25 Mei).
“Perusahaan dan projek seperti ini wajar digalakkan, bukannya dihukum. Tindakan memajak pelabuhan ketika ia belum menguntungkan dan kemudian cuba mengambilnya semula apabila ia mula menjana keuntungan adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan dari segi etika,” menurut kenyataan itu.
Encik Albanese berkata dalam satu wawancara radio bersama Australian Broadcasting Corporation pada April bahawa pemerintahnya mahu pelabuhan itu “dimiliki Australia”, dan akan campur tangan secara langsung serta membelinya sekiranya tidak dapat mencari pembeli privet.
Landbridge pula menyatakan bulan lalu bahawa pelabuhan itu bukan untuk dijual.
Australia kini sedang memperkukuh pangkalan tenteranya di utara, yang akan menjadi lokasi penempatan pengebom dan jet pejuang Amerika Syarikat secara bergilir, sebagai sebahagian daripada kerjasama pertahanan Australia yang semakin erat dengan Washington.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.