Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Duta Besar M'sia ke UAE & Konsul Jeneral di Dubai dipanggil pulang ke Wisma Putra

Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dipanggil pulang ke Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) kerana gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke UAE pada hujung bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Duta Besar M'sia ke UAE & Konsul Jeneral di Dubai dipanggil pulang ke Wisma Putra

Gambar fail Wisma Putra, kompleks Kementerian Luar Malaysia (Gambar: BERNAMA)

PUTRAJAYA: Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dipanggil pulang ke Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) kerana gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke UAE pada hujung bulan lalu.

Menurut kenyataan Wisma Putra pada Isnin (11 Apr), kegagalan itu menyebabkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai.

Selain itu, liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk Perdana Menteri seperti amalan Prosedur Operasi Tetap (SOP) biasa juga tidak ada. 

Kedua-dua pegawai itu juga gagal memaklumkan kepada KLN di Putrajaya tentang penganjuran World Government Summit (WGS) dalam Kawasan Ekspo Dubai dan sekiranya Wisma Putra dimaklumkan awal pastinya usaha akan dibuat supaya Perdana Menteri menyampaikan ucapan di program itu.

Pimpinan tertinggi Wisma Putra hanya mengetahui tentang WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain, kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, Encik Ismail Sabri menghadiri Majlis Penutup WGS pada hari yang sama apabila menerima undangan ke majlis itu selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa UAE Reem Ebrahim Al Hashimy.

Wisma Putra dalam kenyataan itu berkata kecelaruan itu tidak akan berlaku sekiranya penyelarasan dibuat lebih awal, lagipun Kerajaan UAE menyediakan semua kemudahan kepada Encik Ismail Sabri sebagai Ketua Kerajaan sehingga ke akhir lawatan.

"Tindakan memanggil balik kedua-dua pegawai itu bukan sesuatu yang luar biasa dan dibuat melalui perundingan dengan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Ia diambil bagi menjaga kepentingan hubungan bilateral di antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, di samping bagi memastikan kompetensi dan kepentingan perkhidmatan awam," kata kenyataan itu. 

Walaupun apa pun, lawatan itu tetap berjaya mencapai objektif-objektif yang disasarkan, kata kenyataan itu lagi.

Semasa pulang Kerajaan UAE mengatur barisan kehormat statik di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum bagi Perdana Menteri dengan negara itu diwakili oleh Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital UAE, Omar bin Sultan Al Olama.

Semasa di lapangan terbang itu, Omar menyampaikan undangan Kerajaan UAE kepada Ismail Sabri untuk menyampaikan Ucap Utama di WGS akan datang (2023), dengan Perdana Menteri menyatakan persetujuannya menerima undangan itu.

Perdana Menteri Ismail Sabri mengadakan lawatan ke UAE dari 29-31 Mac lepas, sempena Ekspo 2020 Dubai dengan beliau menghadiri Majlis Penutup Pavilion Malaysia dan Majlis Apresiasi bagi Pegawai dan Staf Pavilion Malaysia di Ekspo berkenaan.

Encik Ismail Sabri juga menghadiri Majlis Pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman antara syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat-syarikat antarabangsa sempena Ekspo 2020 Dubai. 

Semasa lawatan itu Perdana Menteri juga mengadakan perjumpaan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum. 

Sementara itu, kenyataan sama menyebut Wisma Putra juga kesal dengan laporan portal berita Free Malaysia Today berhubung dua diplomat itu dipanggil balik yang disiarkannya pada Ahad (10 Apr).

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan kandungan laporan itu, jelas sekali sumber-sumber yang dirujuk atau dipetik bukannya datang daripada pegawai atau pihak yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan urusan lawatan itu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan