Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Dusta tetap dusta': China tolak keras dakwaan di PBB berhubung Xinjiang

Puluhan negara terus memberi tekanan terhadap China di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (21 Okt) atas tuduhan pelanggaran hak asasi terhadap masyarakat Muslim Uyghur dan minoriti lain di wilayah Xinjiang negara itu, mencetuskan reaksi marah daripada utusan China ke PBB.

Anggaran Waktu Membaca:
'Dusta tetap dusta': China tolak keras dakwaan di PBB berhubung Xinjiang

Menara Masjid Xinqu di pinggir Urumqi, wilayah autonomi Xinjiang, China (Gambar: REUTERS/Thomas Peter)

Diterbitkan : 22 Oct 2021 10:44AM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 10:54AM

NEW YORK: Puluhan negara terus memberi tekanan terhadap China di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (21 Okt) atas tuduhan pelanggaran hak asasi terhadap masyarakat Muslim Uyghur dan minoriti lain di wilayah Xinjiang negara itu, mencetuskan reaksi marah daripada utusan China ke PBB.

Pertembungan antara China dengan kebanyakan negara Barat, termasuk Amerika Syarikat, berhubung isu Xinjiang semakin kerap berlaku di Perhimpunan Agung PBB di New York dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.

Dalam satu kenyataan - yang sebahagiannya dibaca oleh Duta Besar Perancis ke PBB Nicolas de Rivière kepada jawatankuasa hak asasi Perhimpunan Agung - 43 negara menyuarakan keprihatinan mengenai meningkatnya "laporan pelanggaran hak asasi manusia yang meluas dan sistematik," menuduh China menahan lebih satu juta orang di kem-kem tahanan.

Negara-negara itu menyatakan tuduhan penderaan itu termasuk "laporan yang merakamkan perbuatan diseksa atau tindakan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah, pemandulan paksa, kekerasan seksual dan berdasarkan jantina, dan memisahkan anak secara paksa".

Beijing menafikan semua tuduhan penderaan terhadap kaum Uighur dan menggambarkan kem-kem itu sebagai kemudahan latihan kejuruan untuk memerangi fahaman pelampau agama.

Duta Besar China ke PBB, Zhang Jun, membalas kenyataan yang sebahagiannya dibaca kepada jawatankuasa hak asasi pada Khamis.

"Kepada Amerika Syarikat dan beberapa negara lain: Percubaan terdesak anda untuk menyembunyikan rekod hak asasi manusia yang mengerikan anda sendiri tidak akan berjaya," selar beliau.

"Tidak kira berapa kali diulang-ulang, pendustaan tetap pendustaan," tambahnya. "Anda menggunakan hak asasi manusia sebagai dalih langkah politik untuk mencetuskan konfrontasi."

Ketua hak asasi manusia PBB Michelle Bachelet telah merundingkan akses ke Xinjiang sejak September 2018. Beliau memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia pada Jun bahawa beliau berharap dapat mencapai persetujuan berhubung syarat-syarat bagi lawatannya tahun ini untuk memeriksa laporan pencabulan serius terhadap Uighur Muslim.

Di Majlis Hak Asasi Manusia pada Jun, lebih 40 negara menggesa China untuk memberi akses segera kepada Cik Bachelet.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan