Skip to main content

Dunia

Durian sepanjang tahun? Pusat baharu proses 'raja buah' di Johor bakal stabilkan harga, bekalan

Untuk para penggemar durian, tidak lama lagi anda tidak perlu menunggu tiba musim raja buah - yang biasanya antara Jun hingga September - untuk menikmatinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Durian sepanjang tahun? Pusat baharu proses 'raja buah' di Johor bakal stabilkan harga, bekalan

Sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan durian di Tangkak, Johor dijadual beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini. (Gambar: Unsplash)

JOHOR BAHRU: Untuk para penggemar durian, tidak lama lagi anda tidak perlu menunggu tiba musim raja buah - yang biasanya antara Jun hingga September - untuk menikmatinya.

Ini kerana sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan durian di Tangkak, Johor dijadual beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Pusat itu dibangunkan dengan tujuan untuk membantu menstabilkan harga dan menangani isu lebihan bekalan durian, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Zahari Sarip, seperti dipetik oleh Malay Mail.

"Disebabkan durian adalah buah musiman, kerajaan Johor memutuskan untuk menjalankan projek kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mewujudkan pusat ini di Tangkak pada tahun lalu," beliau memberitahu wartawan selepas acara penghargaan buah di ibu pejabat negeri agensi tersebut pada Jumaat (11 Jul).

Katanya, pusat itu buat masa ini sedang beroperasi pada skala kecil dan akan beroperasi sepenuhnya semasa musim durian akan datang antara Jun dengan Ogos.

Johor juga sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat berpangkalan di Selangor yang menggunakan teknologi pembekuan nitrogen China untuk mengawet buah, tambah Encik Zahari, seperti dipetik Malay Mail.

"Selain itu, teknologi tersebut juga memperoses durian menjadi pes atau jam untuk produk-produk lain," ujar beliau.

FAMA akan mendampingi pengusaha durian dari Tangkak, Muar dan Segamat untuk menjelaskan bagaimana pusat itu boleh mengendalikan jumlah besar durian dan memberi manfaat kepada para pedagang, tambah beliau, seperti dilapor Malay Mail.

"FAMA juga akan memulakan aspek pengurusan dan pemasaran inisiatif tersebut," katanya.

"Dengan adanya pusat pengumpulan dan pemprosesan durian, para pedagang buah itu dijamin bahawa ini boleh juga menangani isu lebihan bekalan.

"Pusat itu akan membekukan durian yang sudah dikumpulkan dan ia boleh dipasarkan sepanjang tahun," tambah Encik Zahari.

Menurut beliau, pusat itu akan membantu menstabilkan harga durian sepanjang tahun, bergantung kepada persetujuan dengan para peladang dan pedagang.

"Objektifnya adalah untuk mengekalkan struktur harga stabil semasa musim durian dan di luar musim," kata beliau, lapor Malay Mail.

Johor menghasilkan beberapa jenis durian popular, termasuk Musang King, D13 (durian kunyit), IOI, Tekka, Black Thorn, Kim Hong dan durian kampung.

Tahun lalu, Johor menghasilkan 189,787 tan metrik durian daripada 19,179 hektar melibatkan 34,000 pengendali.

Daripada 13 juta kilogram durian yang dieksport ke merata negara, Johor menyumbang 7.2 juta kilogram.

Destinasi utama eksport termasuk Singapura, China dan Hong Kong.
Sumber : Agensi berita/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita