Skip to main content

Dunia

Durian premium baharu Malaysia MS88 akan diperluas untuk tembus pasaran global

Anggaran Waktu Membaca:
Durian premium baharu Malaysia MS88 akan diperluas untuk tembus pasaran global

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 31 Dec 2024 08:35AM Dikemas Kini : 31 Dec 2024 08:36AM
KUALA KANGSAR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjenamakan semula durian MDUR88 kepada MARDI Super 88 atau MS88.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkenalkan durian premium Malaysia ke peringkat lebih tinggi dan membuka peluang komersial lebih luas, termasuk pasaran global.

Menurutnya, mengikut kajian yang dijalankan oleh pihak MARDI, rasa MS88 setanding dengan durian 'Black Thorn'.

“MARDI sedia memberi bimbingan, tunjuk ajar dan jadikan pusat penyelidikan ini sebagai pusat untuk mereka yang berminat untuk menanam durian... boleh datang meminta nasihat dan jenis-jenis tanah dan sesuai dengan durian yang dibuat penyelidikan oleh MARDI ini.

“Memang kita tengok durian sudah jadi satu (bidang) usahawan baharu,” katanya kepada para wartawan sempena lawatan ke Taman Agro Duriotourism di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar pada Sabtu (28 Dis).

Menjelaskan lanjut, Encik Mohamad berkata, melalui penjenamaan semula itu, diharap MS88 dapat menjadi pilihan utama dalam kalangan penggemar durian di seluruh dunia.

Selain China, katanya lagi, pihak kementerian sedang meninjau pasaran baharu di negara-negara Eropah dan Timur Tengah, khususnya dalam bentuk industri hiliran durian.

Menurutnya lagi, pengkomersialan durian itu juga memberi peluang kepada para petani tempatan untuk menikmati manfaat ekonomi yang lebih besar melalui peningkatan hasil dan pengeluaran durian berkualiti tinggi.

“Dengan penjenamaan semula MS88, durian ini bukan sahaja diiktiraf sebagai salah satu durian terbaik Malaysia, tetapi juga berpotensi untuk memasuki pasaran global dengan lebih agresif.

"Permintaan terhadap durian premium di negara-negara seperti China, Singapura, Eropah, dan Amerika Utara semakin meningkat, dan MARDI Super (MS88) bersedia untuk memenuhi permintaan ini dengan menawarkan kualiti yang tiada tandingannya," katanya.
Sumber : Agensi berita/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita