Durian 'Musang King' berharga RM25 jadi rebutan di karnival buah Johor
Lebih tiga tan durian, bersamaan kira-kira 2,000 biji habis dijual dalam tempoh 12 jam pada hari pertama Jualan Rahmah MADANI sempena Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 Zon Selatan di Puteri Harbour pada Jumaat (27 Jun).
Peniaga durian Mohd Hairul Mohd Aziz dari Batu Pahat berkata promosi harga mesra pengguna antara RM25 (S$7.51) hingga RM35 (S$10.51) sekilogram bagi pilihan premium Musang King menjadi faktor utama sambutan luar biasa pengunjung. (Gambar: BERNAMA)
Peniaga durian Mohd Hairul Mohd Aziz, 43 tahun, dari Batu Pahat berkata promosi harga mesra pengguna antara RM25 (S$7.51) hingga RM35 (S$10.51) sekilogram bagi pilihan premium Musang King, berbanding harga pasaran RM40 (S$12.01) hingga RM60 (S$18.02), menjadi faktor utama sambutan luar biasa pengunjung.
“Dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam semalam sahaja, kami berjaya menjual hampir 3 tan durian. Hari ini kami sasar 4 tan lagi, insya‑Allah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di khemah jualannya di Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Selatan pada Sabtu (28 Jun).
Mengulas mengenai Kempen Makan Buah‑Buahan Tempatan yang diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu pada Jumaat, beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah tepat mengetengahkan hasil pertanian negara.
“Durian Malaysia antara yang terbaik di dunia. Jika acara seperti ini kerap dianjurkan, rakyat dapat menikmati durian premium yang biasanya dieksport,” katanya.
Encik Mohd Hairul turut menyokong peluasan Jualan Rahmah MADANI dan kempen mempromosi buah-buahan tempatan, khususnya selepas sebahagian buah import kini dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Ini adalah masa terbaik untuk kita promosikan buah tempatan secara agresif. Kualitinya tinggi dan wajar menjadi pilihan utama rakyat,” katanya.
Pengunjung turut menyambut baik program sebegini yang menawarkan harga berpatutan sambil meningkatkan permintaan hasil tani tempatan.
Cik Siti Rubiah Manshor, 51 tahun, berkata buah‑buahan tempatan seharusnya menjadi pilihan utama rakyat, terutama dalam keadaan ekonomi semasa.
“Sayang kalau buah tempatan bukan pilihan pertama, sedangkan orang luar berebut membelinya. Kempen makan buah tempatan ini bagus tetapi perlu dilaksanakan secara konsisten,” katanya.
Pada Jumaat, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 bertemakan ‘Jom Beli Lokal’, bagi memperluas penembusan produk tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.