Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Durian M'sia kurang; harga naik sehingga 50 peratus

Anggaran Waktu Membaca:
Durian M'sia kurang; harga naik sehingga 50 peratus

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 20 May 2022 02:19PM Dikemas Kini : 20 May 2022 02:19PM

GEORGETOWN: Musim durian di Pulau Pinang kali ini menyaksikan pengurangan sebanyak 30 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus menyaksikan harga raja buah itu meningkat RM3 (S$0.94) hingga RM9 (S$2.83) bagi setiap sekilogram.

Demikian menurut laporan Harian Metro. 

Ia diakui peniaga drian, Shamsul Abdul Aziz, 35 tahun, yang memiliki dusun seluas 1.6 hektar di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau di Georgetown.

Beliau mendakwa antara sebab kekurangan buah durian adalah kerana faktor perubahan cuaca termasuk ribut dan hujan lebat sejak kebelakangan ini yang menyebabkan bunga durian gugur serta buah tidak menjadi.

"Disebabkan faktor itu, terdapat penjual yang terpaksa menaikkan sedikit harga susulan peningkatan lain-lain kos seperti bahan api untuk pengangkutan.

"Penggunaan baja yang kebanyakannya diimport menyebabkan ada peniaga terpaksa menaikkan sedikit harga selain faktor kemerosotan nilai ringgit," katanya ketika ditemui di gerainya di Tanjung Tokong.

Namun menurut Encik Shamsul, harga durian yang dijualnya selaras dan tidak dinaikkan seperti beberapa musim kebelakangan ini yang disifatkan 'harga kayangan'.

"Sedangkan ada juga buah yang dijual pada harga serendah RM13 (S$4.09) sekilogram mengikut jenis, jadi kita hendak hapuskan pemikiran itu supaya golongan B40 juga dapat merasai keenakan durian tempatan.

"Buah durian luruh dalam tempoh masa pendek serta dengan kuantiti yang banyak dan kita tidak mahu berlaku pembaziran akibat tiada pembeli," katanya lagi. 

Encik Shamsul menambah, biasanya musim durian membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan mengambil upah mengutip, membawa buah kepada penjual dan menjual.

"Sudah tiada sekatan (rentas negeri) seperti dua tahun lalu, jadi inilah masanya kita rancakkan semula penjualan durian sebagai tarikan pelancongan ke negeri ini," katanya.

Peniaga dan pemilik dusun, Hamzah Ahmad, 66 tahun, berkata, pada masa ini harga buah memang sedikit mahal berbanding dua minggu akan datang apabila durian jenis lain termasuk gred rendah mulai gugur.

"Faktor itu juga mungkin menyebabkan ada peniaga menaikkan harga kepada RM3 (S$0.94) hingga RM9 (S$2.83) bagi setiap sekilogram setakat ini.

"Di sini, setiap kilogram durian duri hitam dijual pada harga RM95 (S$29.87), musang king RM70 (S$22.01), Hor Lor RM55 (S$17.31) manakala 604 dan kunyit pula RM36 (S$11.32)," katanya yang ditemui di Jalan Air Putih.

Pemilik dusun dan peniaga durian Rumah Batu, Balik Pulau, Tan Hock Hoe, 45 tahun, pula berkata, buah di dusunnya tidak dibawa keluar atau dijual di tempat lain dan pengunjung perlu datang ke dusunnya untuk menikmati durian.

"Bagi pelancong tempatan dan luar negara yang menaiki bas, mereka sanggup berjalan kaki sejauh satu kilometer ke dusun saya dan diharap kita akan lihat semula senario itu pada musim kali ini," kata beliau.

Sumber : Agensi berita/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa