Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Durian harga runtuh RM1.99 sekilogram licin disambar dalam tempoh sejam

Sebanyak tiga tan durian habis dijual dalam tempoh sejam setiap hari di Jalan Pesiaran Raja Syed Thauphy 4, Bagan Serai, Perak, selepas video penjualan raja buah itu tular baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Durian harga runtuh RM1.99 sekilogram licin disambar dalam tempoh sejam

Orang ramai memborong durian pada harga RM1.99 sekilogram di Jalan Pesiaran Raja Syed Thauphy 4, Bagan Serai, Perak. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Jul 2021 12:09AM Dikemas Kini : 20 Jul 2021 12:11AM

BAGAN SERAI: Sebanyak tiga tan durian habis dijual dalam tempoh sejam setiap hari di Jalan Pesiaran Raja Syed Thauphy 4, Bagan Serai, Perak, selepas video penjualan raja buah itu tular baru-baru ini.

Seorang penjual durian, Mohd Shukri Omcek, 27 tahun, berkata beliau tidak menyangka video jualan durian dengan harga RM1.99 (S$ 0.70) sekilogram yang dimuat naik olehnya di media sosial baru-baru ini menyebabkan pelanggan menyerbu tempat jualannya.

Menurut Encik Mohd Shukri, beliau mengambil inisiatif menjual durian pada harga serendah itu selepas terbaca rungutan orang ramai di ruangan komen sebuah portal online yang mengatakan harga buah tersebut mahal dan hanya golongan kayangan sahaja yang mampu membelinya.

"Ramai yang merungut durian dijual dengan harga mahal di pasaran sehingga golongan B40 tidak mampu membeli raja buah untuk dinikmati oleh keluarga mereka.

“Atas sebab itu, saya bersama seorang rakan mencari pekebun-pekebun durian di sekitar kawasan Bukit Gantang dan Trong yang menawarkan harga jualan secara borong dengan rendah supaya dapat dijual kepada orang ramai dengan harga yang rendah," ujarnya ketika ditemui di gerai berkenaan pada Isnin (19 Jul).

Mohd Shukri menambah beliau menjual buah durian pada harga itu sejak seminggu lalu dan sambutan orang ramai amat mengalakkan. Bahkan kebanyakan pelanggan datang lebih awal ke tapak jualan sebelum lorinya tiba.

Sementara itu, seorang pelanggan Zainudin Hamid, 48 tahun, berkata beliau mendapat tahu durian dijual pada harga murah setelah menonton video yang tular di media sosial. Menurut beliau, harga yang ditawarkan sangat rendah dan berbaloi sekali gus memberi peluang kepada yang berpendapatan rendah untuk menikmatinya.

Semasa pandemik COVID-19, ujar beliau lanjut, ramai yang terjejas pendapatan dan tentunya tidak mampu untuk membeli durian sekiranya dijual pada harga yang mahal.

"Sikap penjual durian yang menawarkan harga jualan durian murah seperti ini perlu dipuji kerana memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai kenikmatan buah durian ini," ungkapnya. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan