Skip to main content

Dunia

Dunia terhutang budi dengan Afrika Selatan, heret Israel ke ICJ sabit pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin

Anggaran Waktu Membaca:
Dunia terhutang budi dengan Afrika Selatan, heret Israel ke ICJ sabit pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin

Bendera Afrika Selatan dan Palestin di luar bangunan perbandaran di Bethlehem di Tebing Barat pada 12 Jan 2024. (Gambar: Ahmad Gharabli/AFP)

RAMALLAH: Kementerian Luar Palestin secara terbuka melahirkan penghargaan kepada Afrika Selatan sambil menyatakan sistem antarabangsa "terhutang budi" dengannya kerana mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Pihaknya membuat kenyataan itu selepas sesi pembentangan awam yang berlangsung selama dua hari di ICJ selesai, lapor Agensi Anadolu.

"Kes Afrika Selatan mempamerkan bukti kukuh bahawa Israel sengaja melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid," lapor Agensi Berita Palestin (WAFA) memetik kementerian berkenaan.

Afrika Selatan mengambil "langkah berani" memikul tanggungjawab dan komitmennya sebagai negara yang berpihak kepada Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

"Rakyat Palestin terus terhutang budi dengan kerajaan Afrika Selatan dan rakyatnya yang berani menentang ketidakadilan ke atas rakyat Palestin," menurut kenyataan tersebut.

Afrika Selatan memfailkan kes berkenaan pada Disember, menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza dan meminta ICJ mengeluarkan langkah sementara untuk melindungi rakyat Palestin, termasuk menyeru Israel agar segera menghentikan serangan.

Israel membunuh lebih daripada 23,700 rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Okt. Kempen tenteranya juga menyebabkan pemindahan besar-besaran, kemusnahan dan kelaparan.
Sumber : Bernama/Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita