Skip to main content

Dunia

Dunia sambut 2026 selepas setahun diancam tarif Trump, gencatan senjata dan pergolakan

Para pengunjung sambutan Malam Tahun Baharu menyambut penghujung tahun 2025 pada Rabu (31 Dis) dengan mengucapkan selamat tinggal kepada 12 bulan yang penuh dengan ancaman tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, gencatan senjata Gaza dan harapan untuk keamanan di Ukraine.
Anggaran Waktu Membaca:
Dunia sambut 2026 selepas setahun diancam tarif Trump, gencatan senjata dan pergolakan
Bunga api menerangi langit pada tengah malam, di Sydney, pada 1 Januari 2026. (Gambar: AFP/Saeed KHAN)
SYDNEY: Para pengunjung sambutan Malam Tahun Baharu menyambut penghujung tahun 2025 pada Rabu (31 Dis) dengan mengucapkan selamat tinggal kepada 12 bulan yang penuh dengan ancaman tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, gencatan senjata Gaza dan harapan untuk keamanan di Ukraine.

Ia juga merupakan salah satu tahun paling panas dalam rekod, haba yang mencetuskan kebakaran hutan di Eropah, kemarau di Afrika dan hujan yang membawa maut di seluruh Asia Tenggara.

Terdapat sedikit kesuraman pada sambutan di bandar pelabuhan Australia, Sydney, yang diisytiharkan sebagai "ibu kota Tahun Baharu dunia".

Hampir dua minggu telah berlalu sejak seorang bapa dan anak lelakinya melepaskan tembakan ke arah orang Yahudi di Pantai Bondi, membunuh 15 orang dalam kejadian tembakan beramai-ramai paling dahsyat di negara itu selama hampir 30 tahun.

Para peserta berhenti seketika untuk bertafakur pada pukul 11.00 malam ketika Jambatan Pelabuhan Sydney yang terkenal bermandi cahaya warna putih bagi melambangkan keamanan.

"Buat masa ini, kegembiraan yang biasanya kita rasai pada permulaan tahun baharu dibayangi oleh kesedihan tahun lama," kata Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dalam satu mesej video.

Beratus-ratus ribu penonton berbaris di tepi pantai Sydney, dengan sembilan tan bunga api yang dinyalakan sejak tengah malam.

Para penduduk dan pelancong berkumpul di pelabuhan bandar itu dan bot-bot memenuhi perairan untuk mendapatkan tempat tontonan terbaik berhampiran Sydney Opera House.

"Pertunjukan bunga api sentiasa ada dalam senarai impian saya dan saya sangat gembira berada di sini," kata Susana Suisuikli, seorang pelancong dari England.

Keselamatan lebih ketat daripada biasa, dengan pasukan polis bersenjata melakukan rondaan.

Negara-negara Pasifik termasuk Kiribati dan New Zealand adalah yang pertama menyaksikan ketibaan Tahun Baharu, memulakan rangkaian sambutan dari New York hinggalah ke Pesta Hogmanay di jalan-jalan yang sejuk di Scotland.

Lebih dua juta orang dijangka memenuhi Pantai Copacabana yang meriah di Brazil untuk apa yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai pesta Malam Tahun Baharu yang terbesar di dunia.

Di Hong Kong, pertunjukan bunga api sempena Tahun Baharu yang dirancang untuk Pelabuhan Victoria dibatalkan untuk memberi penghormatan kepada 161 orang yang terkorban dalam kebakaran di sebuah estet perumahan pada November lalu.

Terdapat sambutan dan persembahan dram di Juyong Pass di Tembok Besar China di luar Beijing.

Orang ramai yang berpesta mengibarkan papan tanda yang tertera "2026" dan simbol kuda.

Februari akan menandakan ketibaan Tahun Kuda dalam kalendar masyarakat Cina.

GENCATAN SENJATA DAN TARIF

Anak patung Labubu menjadi kegilaan ramai di seluruh dunia pada tahun 2025, pencuri menjarah muzium terkemuka Louvre dalam satu rompakan berani, dan bintang K-pop BTS kembali beraksi setelah sekian lama dinanti-nantikan.

Dunia kehilangan pakar zoologi perintis Jane Goodall, Vatican memilih Pope baharu dan pembunuhan aktivis sayap kanan Charlie Kirk mendedahkan perpecahan politik yang mendalam di Amerika Syarikat.

Encik Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada bulan Januari, melancarkan serangan tarif yang menyebabkan pasaran global merudum.

Encik Trump menggunakan platform Truth Social milik beliau untuk mengecam penurunan rating prestasinya menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 2026.

"Bukankah bagus untuk mempunyai SEMPADAN YANG KUKUH, Tiada Inflasi, Tentera yang berkuasa, dan Ekonomi yang hebat??? Selamat Tahun Baharu!" tulis Encik Trump di laman media sosial tersebut.

Tetapi ramai yang menjangkakan tempoh yang sukar akan berterusan pada tahun 2026.

"Keadaan ekonomi juga sangat teruk, dan saya khuatir saya akan dibiarkan tanpa pendapatan," kata Ines Rodriguez, 50 tahun, seorang peniaga di Mexico City.

Selepas dua tahun perang yang menyebabkan sebahagian besar Carikan Gaza musnah, tekanan Amerika Syarikat membantu mencapai gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Hamas pada Oktober tahun lalu.
Sumber : Agensi berita/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita