'Dunia percaya kami': Warga Vietnam bangga jadi tuan rumah sidang Trump-Kim
Warga Vietnam tidak kira usia melahirkan kegembiraan pada Rabu (6 Feb) sejurus mendengar berita negara mereka dipilih sebagai tempat pertemuan empat mata antara Presiden Amerika Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un buat kali kedua.
(Gambar fail: AFP)
HANOI: Warga Vietnam tidak kira usia melahirkan kegembiraan pada Rabu (6 Feb) sejurus mendengar berita negara mereka dipilih sebagai tempat pertemuan empat mata antara Presiden Amerika Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un buat kali kedua.
Vietnam diumumkan sebagai tempat sidang puncak berprofil tinggi yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini, dalam ucapan tahunan Encik Trump kepada Kongres.
Ia menyusuli pertemuan bersejarah antara Encik Trump dengan Encik Kim dan pengisytiharan pelucutan nuklear semasa pertemuan pertama mereka di Singapura Jun lalu.
Pilihan Vietnam sebagai tuan rumah bagi pertemuan kedua itu mengharumkan nama bekas seteru bertukar sekutu Amerika Syarikat itu dan simbolik bagi warga Vietnam dari generasi tertentu yang mengalu-alukannya.
"Negara kami kini berada di kedudukan baru dan dunia mempercayai kami," kata anggota parti komunis Pham Van Thau, 82 tahun, kepada AFP.
"Sidang puncak itu akan membantu dunia untuk lebih memahami Vietnam."
Tempat khusus sidang tersebut - dijadual pada 27 dan 28 Februari - belum diumumkan namun ibu kota Hanoi dan bandar peranginan Danang disebut-sebut sebagai pilihan.
Nguyen Hong Nhung, seorang penuntut sarjana, berharap sidang itu akan mengembangkan sektor pelancongan negaranya yang sedang membangun.
"Kami mempunyai peluang ... untuk menunjukkan semua bahawa Vietnam adalah sebuah negara indah dan orang-orang Vietnam peramah," kata beliau.
Para penganalisis berkata sidang itu, yang merupakan lawatan pertama Encik Kim ke Vietnam, boleh menawarkan kepada pemimpin Korea Utara itu satu model transformasi ekonomi pasca peperangan di bawah pemerintahan komunis dengan kecondongan kapitalis.
Cik Nhung bersetuju: "Saya rasa Korea Utara kini seperti Vietnam sebelum sekatan Amerika Syarikat ditarik balik, miskin dan terbatas dari segi ekonomi."
Di Facebook dan wadah media sosial lain, para pengguna melahirkan rasa bangga tentang prospek sidang puncak itu.
Para pengguna di satu lelaman berkata Encik Kim malah boleh mengambil ilham dari penyatuan utara dan selatan Vietnam selepas perang.
"Mereka bertemu di Vietnam jadi Kim boleh lihat hasil dua bahagian negara bersatu," menurut komen yang ditulis Gia Hoang di otofun.net.
Vietnam sedang cuba mencatat satu lagi kejayaan selepas menjadi tuan rumah sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2017 dan Forum Ekonomi Dunia tahun lalu, mengukuhkan lagi pengaruh diplomatiknya di persada dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.