Dunia mungkin miliki 25 kuasa nuklear, kata Ketua IAEA
Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memberi amaran bahawa dunia mungkin berdepan sehingga 25 negara bersenjata nuklear, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, semasa ditemu bual Reuters di Vienna, Austria, pada 3 September 2025. (Gambar: REUTERS/Lisa Leutner)
“Tanpa niat untuk menimbulkan panik,” kata Encik Rafael Grossi kepada akhbar harian Itali La Repubblica dalam temu bual yang disiarkan pada Ahad (7 Sep), “risiko konflik nuklear kini lebih tinggi berbanding masa lalu.”
Encik Grossi menyatakan pada satu tahap, 20 hingga 25 negara mungkin memiliki senjata nuklear, walaupun beliau tidak menyebut jangka masa tertentu. Pada masa ini, terdapat sembilan kuasa nuklear, menurut beberapa pakar.
“Proses perlucutan senjata atau pengurangan terkawal stok simpanan senjata nuklear telah terhenti,” kata ketua IAEA itu. “Negara yang memiliki senjata nuklear terus menghasilkannya dengan lebih banyak, termasuk China.”
Beliau juga menyatakan bahawa terdapat perbincangan yang semakin kerap dan terbuka mengenai serangan nuklear taktikal, yang disifatkannya sebagai membimbangkan.
Kata Encik Grossi, beliau bimbang pemimpin di beberapa negara sudah mengumumkan hasrat mereka untuk memperoleh senjata nuklear.
Apabila ditanya mengenai negara berkenaan, Encik Grossi berkata: “Sebagai ketua IAEA, saya tidak boleh menyatakannya. Negara-negara ini penting di Asia, Asia Kecil dan Teluk Parsi. Dunia dengan 20 hingga 25 negara bersenjata nuklear adalah tidak dapat diramal dan berbahaya.”
Sembilan negara bersenjata nuklear itu termasuk lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) – Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Perancis dan China – serta India, Pakistan, Korea Utara dan Israel, menurut laporan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) dan maklumat daripada Kempen Antarabangsa untuk Menghapuskan Senjata Nuklear (ICAN).
Secara kolektif, mereka dianggarkan memiliki kira-kira 12,000 senjata nuklear, dengan Rusia dan Amerika Syarikat memiliki sekitar 10,700 daripadanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.