Dunia masih kekurangan asas etika dan peraturan untuk urus kebangkitan AI: Ketua IMF
Negara-negara di seluruh dunia masih kekurangan asas dari segi peraturan dan etika untuk menguruskan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), kata Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva pada Isnin (13 Okt), sambil menggesa kumpulan masyarakat sivil supaya “membunyikan loceng amaran.”
Ketua Pengarah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, menghadiri sidang media Jawatankuasa Monetari dan Kewangan Antarabangsa sempena Mesyuarat Musim Bunga IMF/Bank Dunia 2025 di Washington D.C., Amerika Syarikat, pada 25 April 2025. (Gambar fail: REUTERS/Elizabeth Frantz)
Bercakap pada pembukaan mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia, Cik Georgieva memberi amaran bahawa revolusi AI sedang berkembang secara tidak seimbang, dengan ekonomi maju seperti Amerika Syarikat menguasai bidang tersebut, sementara negara-negara membangun berisiko ketinggalan.
“IMF agak bimbang jurang antara ekonomi maju dan negara berpendapatan rendah dari segi kesediaan terhadap AI semakin melebar,” katanya. “Ini menyukarkan usaha negara-negara membangun untuk menutup jurang tersebut.”
KETIDAKSEIMBANGAN SEMAKIN KETARA DARI SEGI KESEDIAAN AI
Cik Georgieva menjelaskan bahawa walaupun beberapa pasaran yang sedang pesat membangun seperti China sudah membangunkan keupayaan AI, kebanyakan negara membangun masih kekurangan infrastruktur digital dan tenaga kerja mahir untuk memanfaatkan potensinya.
Beliau berkata IMF sedang menasihati negara-negara supaya memberi tumpuan terlebih dahulu kepada pembinaan asas digital yang kukuh, termasuk pendidikan dan keterhubungan, sebelum berusaha untuk mendakapi teknologi AI.
Minggu lalu, Cik Georgieva memberi amaran bahawa pasaran kewangan global menunjukkan tanda-tanda “keterujaan yang dipacu AI”, serupa dengan ledakan teknologi 25 tahun lalu, sambil menegaskan bahawa perubahan mendadak dalam sentimen boleh menjejaskan pertumbuhan global, khususnya bagi negara-negara miskin.
KETINGGALAN DARI SEGI ETIKA DAN PERATURAN
IMF telah membangunkan indeks kesediaan AI yang menilai tahap kesiapsiagaan negara dalam empat bidang utama: infrastruktur, tenaga kerja dan kemahiran, inovasi, serta peraturan dan etika.
“Bidang di mana dunia paling banyak ketinggalan ialah dari segi peraturan dan etika,” kata Cik Georgieva. “Asas peraturan dan etika untuk AI bagi masa depan kita masih belum terbentuk dengan sepenuhnya.”
Beliau menyeru masyarakat sivil supaya bertindak sebagai pengawas untuk memastikan pembangunan AI benar-benar memberi manfaat kepada orang ramai.
“Bunyikan loceng amaran di negara anda bahawa memilih untuk tidak berubah bererti semakin jauh ketinggalan,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.