Dunia digemparkan dengan keganasan di AS
Para pemimpin dunia pada Rabu (6 Jan) melahirkan rasa terkejut terhadap para penunjuk perasaan yang menyerbu Kongres dan cuba membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden yang diadakan pada 3 November lalu.
Para penyokong Trump serbu bangunan Kongres pada 6 Jan 2020 (Gambar: AFP/ROBERTO SCHMIDT)
WASHINGTON: Para pemimpin dunia pada Rabu (6 Jan) melahirkan rasa terkejut terhadap para penunjuk perasaan yang menyerbu Kongres dan cuba membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden yang diadakan pada 3 November lalu yang memberikan kemenangan kepada pesaing Presiden Donald Trump, Encik Joe Biden dari Parti Democrat.
Berikut adalah reaksi dari seluruh dunia:
SWEDEN
Perdana Menteri Sweden Stefan Lofven melalui ciapan Twitternya menyifatkan insiden itu sebagai "serangan terhadap demokrasi".
"Presiden Trump dan ramai anggota Kongres memikul tanggungjawab yang besar atas apa yang berlaku sekarang. Proses pemilihan presiden secara demokratik mesti dihormati."
UNITED KINGDOM
Perdana Menteri Britain Boris Johnson dalam ciapan Twitternya menyifatkan apa yang berlaku di Kongres Amerika Syarikat sebagai sesuatu yang "memalukan", sambil menambah Amerika Syarikat adalah lambang demokrasi di seluruh dunia dan adalah "penting" untuk memastikan peralihan kuasa berjalan dengan aman dan teratur.
JERMAN
Menteri Luar Jerman Heiko Maas berkata musuh demokrasi akan bertepuk sorak dengan adegan-adegan ganas yang disaksikan di Capitol dan beliau turut menggesa Encik Trump supaya menerima keputusan para pengundi.
Dalam catatan Twitter yang dimuat naik selepas para penunjuk perasaan menyerbu dewan perundangan Amerika Syarikat, Encik Maas berkata keganasan itu disebabkan oleh retorik yang mengapi-apikan keadaan. "Hakikatnya, Trump dan para penyokongnya mesti menerima keputusan pengundi Amerika dan berhenti menginjak-injak demokrasi."
RUSIA
"Gambar-gambar dari (Washington) DC seperti Maidan kini tersebar," kata Timbalan Duta Besar Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Dmitry Polyanskiy di Twitter, sambil merujuk kepada tunjuk perasaan di Ukraine yang menggulingkan Presiden Ukraine yang disokong Rusia, Viktor Yanukovich pada 2014.
"Sesetengah rakan saya bertanya adakah seseorang akan mengagihkan biskut kepada para penunjuk perasaan, serupa dengan apa yang dilakukan oleh Victoria Nuland," katanya sambil merujuk kepada Cik Nuland yang mengagihkan makanan kepada para penunjuk perasaan dalam lawatannya ke Ukraine pada 2013 semasa menyandang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Negara ketika itu.
NATO
Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Jens Stoltenberg menyifatkan bantahan ganas di Washington itu sebagai "adegan-adegan yang mengejutkan" dan beliau juga berpendapat bahawa keputusan pilihan raya mesti dihormati.
SEPANYOL
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez berkata di Twitter: "Saya sedang mengikuti perkembangan ini dengan penuh prihatin. Saya percaya pada keutuhan demokrasi Amerika.
"Bakal Presiden @JoeBiden akan akan mengatasi ketegangan ini, menyatukan rakyat Amerika."
KANADA
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau turut menyuarakan keprihatinannya terhadap bantahan ganas di Washington. "Tentu sekali kami prihatin dan kami juga sedang mengikuti perkembangannya," kata Encik Trudeau kepada stesen radio News 1130 Vancouver. "Saya rasa institusi-institusi demokrasi Amerika teguh dan semoga semuanya akan kembali normal tidak lama lagi."
TURKI
Kementerian Luar Turki mengeluarkan kenyataan yang menyuarakan kebimbangannya terhadap keganasan yang tercetus di Amerika Syarikat dan menyeru rakyat negara itu supaya bertenang dan menggesa mereka supaya mengelakkan kawasan di mana tunjuk perasaan diadakan.
PERANCIS
Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian menulis di Twitter: "Keganasan terhadap institusi-institusi Amerika Syarikat adalah serangan yang serius terhadap demokrasi. Saya mengutuknya. Kehendak dan suara rakyat Amerika mesti dihormati."
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.