Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

DUN Sarawak bubar; beri laluan pilihan raya negeri

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 3 November sekali gus memberi laluan bagi pilihan raya di negeri Malaysia Timur itu.

Anggaran Waktu Membaca:
DUN Sarawak bubar; beri laluan pilihan raya negeri

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Tun Openg menunjukkan surat kenyataan akhbar pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak semasa sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya pada 5 Nov 2021. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 Nov 2021 01:36PM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 01:39PM

KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 3 November sekali gus memberi laluan bagi pilihan raya di negeri Malaysia Timur itu.

Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg berkata pembubaran itu selaras dengan kelulusan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan pada hari yang sama.

"Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (berhubung pembubaran DUN Sarawak).

"Situasi sangat unik apabila Agong menamatkan darurat, secara automatik (DUN) terbubar. Bagaimanapun mengikut prosedur, kami akan meminta Speaker memaklumkan SPR," kata beliau semasa sidang media di Kuching hari ini (5 Nov).

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong memberi kelulusan supaya Proklamasi Darurat di Sarawak ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan pada Februari 2022. Ini selepas berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak dan mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara dan ketua agensi kerajaan yang berkaitan.

Abang Johari berkata sekiranya Proklamasi Darurat itu tidak diisytiharkan, DUN terbubar pada 7 Jun lalu mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinannya tidak lagi mempunyai mandat rakyat, yang diberikan pada 2016, untuk memerintah.

“Berpegang kepada sumpah kami untuk memelihara dan melindungi Perlembagaan Negeri Sarawak serta Perlembagaan Persekutuan dan menjaga hak rakyat untuk memilih kerajaan sendiri, kerajaan GPS merasakan adalah suatu pengkhianatan kepada sumpah itu jika kerajaan GPS terus berkuasa di sebalik alasan darurat sedangkan mandat rakyat untuk mentadbir telah tamat,” katanya.

Beliau berkata atas sebab itu, kerajaan negeri berunding dan menasihatkan Yang Dipertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud supaya memohon kelulusan daripada Yang di-Pertuan Agong agar menamatkan lebih awal Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 2 Ogos lalu.

Abang Johari berkata menyedari kesihatan dan keselamatan rakyat Sarawak adalah perkara paling utama, kerajaan negeri mengadakan perbincangan yang teliti dan berterusan dengan pihak berkuasa kesihatan serta pihak berkepentingan lain agar pilihan raya diadakan dengan semua prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan.

“Kadar vaksinasi COVID-19 di negeri ini juga telah mencapai tahap yang boleh diterima oleh pihak berkuasa agar pilihan raya dapat dijalankan dengan selamat,” ujar beliau.

Pada 31 Julai lalu, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat diteruskan di Sarawak hingga 2 Februari 2022 susuli ancaman pandemik COVID-19, sekali gus menangguhkan pilihan raya negeri bagi tempoh berkenaan.

Pilihan raya DUN Sarawak merupakan pilihan raya tempatan yang kedua diadakan di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pilihan raya DUN Melaka akan berlangsung pada 20 hari bulan ini.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan