DUN Sabah dibubarkan, beri laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada Isnin (6 Okt) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Gambar Fail: BERNAMA
Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran berkenaan semasa sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Wakil Rakyat Kerajaan Sabah di Menara Kinabalu, yang merupakan pusat pentadbiran negeri, pada pukul 2.54 petang tadi (6 Okt).
Beliau berkata pengumuman berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman.
Awal dari itu, Encik Hajiji menghadap Encik Musa di Istana Seri Kinabalu dan kenderaan yang membawa ketua menteri itu dilihat memasuki pekarangan istana pada pukul 8.51 pagi.
Hadir sama di majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) serta anggota Kabinet Negeri.
Presiden parti komponen GRS turut hadir ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Pandikar Amin Mulia, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Chin Su Phin, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Liew Yun Fa dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman.
Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), serta pemimpin PH Sabah lain antaranya Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.
PRN Sabah Ke-16 pada 2020 menyaksikan GRS yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN) dan PBS serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah dengan memperoleh 41 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Parti Warisan pula meraih 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.
GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), tanpa penyertaan BN dan PAS.
Bagaimanapun, pada November tahun sama, Encik Hajiji dan pemimpin Bersatu bertindak keluar daripada parti tersebut, seterusnya menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sebelum Bersatu kemudiannya digugurkan daripada GRS.
Pada Januari 2023, BN menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah yang ketika itu dipimpin GRS, namun PH mengambil keputusan untuk menyokong kerajaan negeri seterusnya mengekalkan kerajaan Sabah sedia ada dan Encik Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Pada Khamis lalu (2 Okt), Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun memaklumkan STAR serta SAPP akan bertanding secara berasingan bagi PRN Sabah ke-17, dengan menggunakan logo parti masing-masing.
Tindakan itu menyebabkan kedua-dua parti terbabit tidak lagi dianggap sebahagian daripada GRS, berikutan keputusan Majlis Tertinggi yang menetapkan bahawa mana-mana parti komponen bertanding yang menggunakan logo sendiri akan terkeluar daripada gabungan.
Buat masa ini, GRS dianggotai Gagasan Rakyat, PBS, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) serta Parti Cinta Sabah (PCS) dan gabungan itu mempunyai 42 kerusi DUN.
Sementara itu, Parti Warisan (14), BN (12), PH (7), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (2) dan PAS (1).
Kerusi DUN Sungai Sibuga dikosongkan berikutan kematian penyandangnya Mohamad Hamsan Awang Supain daripada BN pada Januari lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.