Skip to main content

Dunia

DUN Pulau Pinang lulus usul isytihar pengosongan 4 kerusi ADUN

Anggaran Waktu Membaca:
GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Isnin (6 Mac) membahaskan dan meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan empat kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Empat ADUN terlibat terdiri daripada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) turut diarah keluar meninggalkan sidang DUN pada tengah hari Isnin selepas usul itu diluluskan.

Mesyuarat Ketiga Penggal kelima DUN Pulau Pinang Ke-14 pada Isnin menyaksikan Speaker, Law Choo Kiang, membenarkan usul itu dicadang dan dibahaskan terlebih dahulu.

Ia dilaksanakan selepas mengambil kira kepentingannya yang berkaitan dengan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta berikutan keputusan mahkamah berkenaan enakmen antilompat parti pada 2 Mac lalu.

Encik Law turut memaklumkan bahawa sesuatu kekosongan luar jangka tidak boleh diisi memandangkan DUN akan terbubar kurang daripada dua tahun.

Keempat-empat ahli Bersatu itu meninggalkan bangunan DUN kira-kira pukul 1.00 tengah hari selepas diarahkan berbuat demikian oleh speaker DUN sebaik sahaja usul itu mendapat sokongan majoriti ADUN.

Awal dari itu, usul tersebut dicadangkan oleh Timbalan Ketua Menteri Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PH-Pinang Tunggal) dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo (PH-Datuk Keramat).

Encik Ahmad Zakiyuddin berkata Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan jelas menetapkan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya apabila melepaskan, berhenti atau dilucutkan keahlian daripada sesebuah parti politik atau menyertai mana-mana parti politik lain.

Menurutnya, perkara itu terpakai kepada ADUN Bertam dan Teluk Bahang yang merupakan ahli Bersatu dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bertanding atas tiket logo PKR serta mendapat merit daripada Presiden PKR, manakala ADUN Sungai Acheh dan Seberang Jaya pula dipecat daripada PKR.

“Sekiranya pengisytiharan tersebut diluluskan, Yang Dipertua DUN, menurut Fasal 14A(4) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, hendaklah memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa telah berlakunya kekosongan empat kerusi DUN Pulau Pinang,” katanya.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita