Skip to main content

Dunia

DUN Pulau Pinang bubar 28 Jun

Anggaran Waktu Membaca:
DUN Pulau Pinang bubar 28 Jun

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. (Gambar: Chow Kon Yeow/Facebook)

Diterbitkan : 27 Jun 2023 09:56AM
GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan dibubarkan pada Rabu (28 Jun) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata tarikh itu telah dicadangkan dan telah mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak pagi Selasa (27 Jun).

“Pada pagi ini saya telah mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri untuk menandatangani proklamasi untuk membubarkan DUN Pulau Pinang bagi memberi ruang PRN yang akan ditetapkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) setelah semua negeri dibubarkan dewan masing-masing.

“Saya lega perkara ini sudah berakhir, jadi kini kita boleh bersiap sedia untuk pilihan raya negeri. Tarikhnya akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Seri Mutiara, hari ini.

Encik Chow tiba di Seri Mutiara, pada 7.55 pagi untuk menghadap Encik Ahmad Fuzi bagi memohon persetujuan untuk pembubaran DUN Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013, di bawah Pakatan Rakyat ketika itu, gabungan tersebut memenangi 29 dan 30 kerusi negeri masing-masing daripada 40 kerusi dan membentuk kerajaan negeri.

Pada 2018, di bawah Pakatan Harapan (PH) dan rakan gabungan baru Bersatu, pakatan itu memenangi kemenangan besar dengan 37 kerusi DUN mengalahkan PAS dan Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya itu DAP menawan kerusi terbanyak iaitu 19, diikuti PKR dengan 14 dan masing-masing dua bagi Parti Amanah Negara, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO. Satu kerusi menjadi milik PAS.

Selain Pulau Pinang, PRN perlu juga diadakan di lima lagi negeri Malaysia iaitu Selangor, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Selangor dan Kelantan sudah membubarkan DUN manakala DUN Pulau Pinang dan Kedah masing-masing akan dibubarkan pada 28 Jun ini.

Sementara itu, DUN Negeri Sembilan pula akan dibubarkan pada 30 Jun.

Kesemua PRN itu dijangka diadakan serentak pada bulan Ogos ini.
 
Sumber : Agensi berita/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita