Skip to main content

Dunia

DUN Kelantan dibubarkan secara rasmi hari ini

Anggaran Waktu Membaca:
DUN Kelantan dibubarkan secara rasmi hari ini

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 22 Jun 2023 12:50PM Dikemas Kini : 22 Jun 2023 01:37PM
KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dibubarkan secara rasmi pada Khamis (22 Jun)bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ia menyusuli pengumuman Menteri Besar Ahmad Yakob pada sidang medianya Rabu lepas, bahawa pembubaran DUN itu mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

DUN Kelantan mempunyai 45 kerusi. 

Pembubaran DUN bagi penggal ke-14 itu dilakukan empat hari lebih awal, berbanding tempoh mandat DUN yang akan berakhir pada 26 Jun ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS yang memerintah Kelantan menang 37 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) menguasai lapan kerusi.

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas Mustapa Mohamed kemudian bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu.

PRN Kelantan kali ini akan menyaksikan BN membuat kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH), selain PAS yang menerajui Kelantan sejak 1990 juga tidak bersendirian apabila membentuk kerjasama dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).

Ketika ditemui media semalam, Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat mengesahkan parti itu akan bertanding di 39 kerusi DUN manakala Bersatu akan menentang BN di enam kerusi.

Bagi BN dan PH, kedua-dua gabungan berkenaan juga telah menyelesaikan pembahagian kerusi masing-masing.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan Zawawi Othman dilapor berkata calon BN akan diletakkan di 31 kerusi manakala 14 kerusi diberikan kepada PH.

Kelantan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Hanya Terengganu belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN.

DUN Selangor akan dibubarkan esok manakala Pulau Pinang dan Kedah, pada 28 Jun, sementara Negeri Sembilan pada 30 Jun.

Keputusannya disifatkan sebagai kayu ukur sokongan rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.
Sumber : Bernama/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita