Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dulu dibadai tsunami, Masjid Terapung Arkam Babul Rahman masih berdiri teguh & kini popular semasa Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:

PALU: Pada 28 September 2018, masyarakat dunia dikejutkan sekali lagi dengan insiden gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang melanda kawasan Palu, Sulawesi, Indonesia.

Pusat gempa bumi tersebut terletak kira-kira 78 kilometer dari Kota Palu, iaitu di Kabupaten Donggala di Sulawesi Tengah.

Gempa bumi kuat itu 'hadir' bersama tsunami dengan ketinggian maksimum antara empat hingga enam meter.

Akibat daripada bencana alam itu, lebih 1,200 individu dilaporkan terkorban, selain bangunan-bangunan di kawasan sekitar runtuh akibat dibadai ombak tsunami.

Gempa bumi tersebut telah menyebabkan Sulawesi Tengah diisytiharkan sebagai kawasan darurat selama 14 hari bagi memudahkan misi bantuan dan menyelamat digerakkan ke kawasan terjejas.

Kini, selepas hampir empat tahun, 'amukan alam' itu masih meninggalkan kesan di lokasi sekitar dan juga masyarakat di pulau tersebut.

Tetapi menariknya, di sebalik insiden itu - lokasi tersebut kini menjadi antara kawasan popular untuk orang awam melakukan aktiviti 'ngabuburit'.

'Ngabuburit' adalah istilah tempatan yang merujuk kepada waktu menunggu berbuka puasa. 

Ia lazimnya diserikan dengan pelbagai pengisian acara seperti persembahan nasyid, tazkirah, seminar ilmiah dan juga aktiviti budaya serta riadah.

Mereka yang hadir di kawasan tersebut tidak melepaskan peluang merakam swafoto berlatarbelakangkan Masjid Terapung Arkam Babul Rahman.

Masjid tersebut yang masih berdiri kukuh adalah antara bukti betapa dahsyatnya kesan akibat ombak tsunami.

“Seronok ngabuburit di sini, dengan pemandangan alam yang indah,” kata salah seorang pengunjung yang dikenali sebagai Ahmad, seperti dinukil oleh ANTARA.

Encik Ahmad menambah, pemandangan yang menakjubkan itu disifatkan sebagai sesuai untuk meluangkan masa menunggu waktu berbuka, selain disajikan dengan pemandangan alam yang menakjubkan.

Seorang lagi pengunjung, Encik Arsyad pula berpandangan, dia lebih suka kawasan pantai untuk ngabuburit berbanding tempat lain seperti bukit, kedai kopi, atau kafe.

"Rasanya lebih baik menunggu waktu berbuka di sini. Sambil menunggu, kita boleh menikmati bayu laut dan ombak sambil melihat nelayan menangkap ikan," ujarnya.
 

Sumber : Agensi berita/AW/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan