Skip to main content

Dunia

‘Dukono meletus setiap saat’: Malim gunung beri amaran tentang risiko pendakian gunung berapi

Jurupandu pelancong Indonesia berkata pendakian ke Gunung Dukono mempunyai risiko, dengan sesetengah daripada mereka enggan membawa tetamu yang tidak memahami tentang bahaya gunung berapi aktif.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Dukono meletus setiap saat’: Malim gunung beri amaran tentang risiko pendakian gunung berapi

Dalam gambar yang dikeluarkan Badan Geologi, agensi geologi di bawah Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Gunung Dukono dilihat memuntahkan bahan gunung berapi semasa letusan di Halmahera Utara, Indonesia, pada 8 Mei 2026. (Gambar: Badan Geologi menerusi AP)

Diterbitkan : 08 May 2026 11:16PM
JAKARTA: Jurupandu pelancong Indonesia berkata pendakian ke Gunung Dukono mempunyai risiko, dengan sesetengah daripada mereka enggan membawa tetamu yang tidak memahami tentang bahaya gunung berapi aktif.

Gunung Dukono meletus pada Jumaat (8 Mei), dengan kepulan abu menjulang sekitar 10 kilometer ke udara.

Seramai 20 pendaki, termasuk warga Singapura, terperangkap dalam letusan di pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara itu, dengan tiga orang masih lagi hilang, menurut pihak berkuasa Indonesia. Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan Indonesia untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada warga Singapura yang terjejas akibat letusan tersebut.

Akses ke kawasan itu dihadkan sejak 17 April selepas para saintis mengesan peningkatan aktiviti gunung berapi. Pihak berkuasa turut memberi amaran supaya orang ramai tidak menghampiri jarak empat kilometer dari kawah gunung berapi tersebut.

Namun, tanpa larangan rasmi, ramai pendaki masih terus melakukan pendakian.

Bekas jurupandu Gunung Dukono, Yanto Aris, 50 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa hanya segelintir jurupandu sebelum ini membawa pendaki ke gunung berapi tersebut.

“Mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan penuh seperti topi keledar dan topeng gas. Kini, piawaian itu jarang dipatuhi,” kata Encik Yanto, yang kini menetap di bandar Malang di wilayah Jawa Timur.

“Saya mungkin merupakan antara orang pertama yang membawa tetamu ke Gunung Dukono sekitar 2005. Selepas itu, saya ke sana sekitar lima hingga enam kali setahun, membawa penyelidik, pembuat filem atau jurugambar - kebanyakannya dari Eropah.”

Encik Yanto berkata beliau enggan “membawa tetamu yang tidak memahami bahaya gunung berapi”.

“Dukono meletus setiap saat. Malah, ia paling berbahaya apabila ia tidak meletus - jika ia senyap selama sejam pun sudah berbahaya, apatah lagi sepanjang hari.”

Pakar vulkanologi yang ditemui Mediacorp berkata Gunung Dukono mempunyai aktiviti letusan yang sangat intensif. Ia meletus setiap hari, walaupun letusannya biasa berlaku di kawasan kawah. Sejak 2008, asap letusan mencecah ketinggian antara 50 meter hingga 10 kilometer.

“Namun, dalam keadaan tertentu apabila tekanan meningkat, letusan yang lebih besar boleh berlaku, seperti hari ini,” kata Ketua Tim Gunung Api di Badan Geologi Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Heruningtyas Desi Purnamasari.

“Letusan hari ini mencapai ketinggian 10 kilometer, dengan bahan pijar terlontar sehingga kira-kira sejauh dua hingga tiga kilometer.”

Gunung Dukono berada pada Tahap II (Waspada) dalam sistem amaran empat peringkat Indonesia sejak 2008. Gunung Ibu, yang juga terletak di pulau Halmahera, berada pada Tahap II, manakala Gunung Semeru, gunung berapi tertinggi di Jawa dan boleh meletus setiap lima minit, berada pada Tahap III. Tahap IV menunjukkan tahap tertinggi bagi aktiviti gunung berapi.

“Jika ditanya sama ada ia boleh diramalkan, Gunung Dukono memang meletus setiap hari. Aktivitinya dianggap meningkat atau tidak normal sejak 2008,” kata Cik Heruningtyas.

“Cadangan kami pada Tahap II (Waspada) adalah untuk mengelakkan sebarang aktiviti dalam radius empat kilometer dari pusat aktiviti. Ini bermakna tiada aktiviti manusia disyorkan dalam jarak itu, termasuk pendakian atau aktiviti lain.”

TARIKAN BERBAHAYA

Walaupun berisiko, letusan gunung berapi itu menjadi tarikan ramai pengunjung.

M Ichsan, seorang jurupandu bersama agensi pelancongan Kelana Malut dan penganjur perjalanan terbuka ke Gunung Dukono, berkata beliau membawa 20 pelancong ke gunung itu bulan lalu. Syarikat itu mengadakan sekurang-kurangnya dua perjalanan terbuka setiap bulan, tidak termasuk perjalanan privet, kata lelaki berusia 34 tahun itu kepada Mediacorp.

“Gunung ini meletus setiap saat - kadang-kadang kecil, kadang-kadang sederhana, kadang-kadang besar,” kata beliau.

“Apa yang menarik orang ke Dukono ialah letusannya; itulah yang dicari pengunjung. Mereka dapat melihat letusan dari dekat, walaupun dalam skala kecil. Pemandangannya sangat indah, menjadikannya antara gunung paling cantik di Maluku Utara.”

Seorang penyambut tetamu di sebuah hotel di Tobelo, bandar paling hampir dengan Gunung Dukono, berkata pihak berkuasa tempatan tidak mengeluarkan sebarang nasihat sekatan atau amaran kepada para tetamu supaya tidak mendaki gunung berapi itu, walaupun ia terus meletus.

Bercakap dengan syarat tidak dikenal pasti dan nama hotelnya tidak didedahkan, kakitangan tersebut berkata tanpa panduan rasmi, keputusan untuk mendaki Gunung Dukono dianggap sebagai tanggungjawab individu yang memilih untuk melakukannya.

Beliau berkata tiada tetamu di hotelnya yang diketahui sedang mendaki gunung tersebut ketika ini, walaupun seorang pelancong dari Sepanyol melakukan lawatan baru-baru ini dan meninggalkan Tobelo tiga hari lalu untuk ke pulau lain.

Menurut lelaki itu, hotelnya yang terletak lebih 20 kilometer dari Gunung Dukono tidak menyediakan pengangkutan atau khidmat jurupandu pelancong ke lokasi tersebut, walaupun pihaknya mengetahui terdapat jurupandu yang kerap membawa pengunjung ke sana.

Namun begitu, hotel itu tetap berusaha memastikan tetamu yang merancang untuk mendaki membuat persiapan yang sewajarnya. Ia dilakukan terutamanya dengan mengemukakan soalan-soalan terperinci mengenai rancangan mereka menerusi jurupandu pelancong yang diupah.

“Bagi pelancong Sepanyol itu ... jurupandu pelancong berkata ia selamat. Kami hanya meminta maklumat daripada jurupandu untuk memastikan keadaan, seperti berapa lama masa yang akan diambil sesuatu pendakian, laluan yang akan digunakan dan apa yang akan berlaku jika ia hujan,” kata beliau.

DUA LALUAN - SATU LEBIH BERISIKO

Daripada perbualannya dengan para jurupandu pelancong, beliau mengetahui terdapat dua laluan bagi akses ke Gunung Dukono - laluan pendakian rasmi dan laluan alternatif yang tidak dipantau. Katanya, laluan yang tidak dikawal itu masih kerap digunakan para pelancong walaupun gunung berapi tersebut sedang meletus.

“Ia melalui rumah para penduduk dan kawasan ladang, jadi ada kawasan yang tidak dikawal. Dan mereka (pelancong) sering melakukan pendakian melalui laluan tanpa kawalan ini. Lokasinya mungkin sekitar 10 hingga 15 kilometer dari laluan yang dikawal.”

Encik M Ichsan turut berkata terdapat dua laluan pendakian ke puncak Gunung Dukono - melalui Desa Ruko dan Desa Mamuya.

Menurut rakan-rakan jurupandunya, mangsa merupakan pelancong yang dipercayai menggunakan laluan Mamuya.

“Saya tidak pernah membawa pelancong melalui Mamuya kerana ia berbahaya. Walaupun ia merupakan laluan yang lebih cepat ke kawah, ia berada pada kedudukan yang lebih rendah berbanding kawah, sekali gus meningkatkan risiko terkena lontaran batu besar,” kata beliau.

“Jika mahu mendaki Dukono, ia sepatutnya dilakukan pada waktu pagi antara pukul 7.00 pagi hingga pukul 9.00 pagi. Selepas itu, letusan biasanya menjadi lebih besar.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita