Dugong diisytihar pupus di China
(Gambar: AAMP/AFP)
BEIJING: Hidupan laut dugong, iaitu haiwan yang pernah disalah anggap sebagai ikan duyung oleh kelasi-kelasi kapal suatu ketika dahulu, diisytiharkan pupus di China baru-baru ini, lapor The Washington Post.
Ia diisytiharkan pupus setelah tiada sebarang rekod atau bukti menunjukkan bahawa dugong wujud di negara tersebut sejak tahun 2008, menurut satu penyelidikan baru pada Rabu (24 Ogos).
Bilangan mamalia laut itu merosot di China dari tahun 1970-an dan sebelum tahun 2008, menurut para saintis pemuliharaan dari Persatuan Zoologi London (ZSL) dan Akademi Sains China.
Penyelidikan para saintis itu diterbitkan pada Rabu dalam jurnal 'Royal Society of Open Science' Britain.
Para penulis mengesyorkan bahawa Kesatuan Antarabangsa bag Pemuliharaan Alam Semula Jadi, yang menyimpan "Senarai Merah" pemuliharaan sejagat, menilai semula status serantau spesies dugong sebagai terancam secara teruk (berkemungkinan pupus) di seluruh perairan China.
Haiwan tersebut diancam secara global oleh kegiatan manusia seperti memancing, pelanggaran dengan kapal dan kehilangan habitat yang disebabkan oleh manusia, lapor The Washington Post.
Para saintis dari ZSL dan Akademi Sains China menjalankan tinjauan serta menyemak data pengedaran sejarah untuk mencapai kesimpulan tersebut.
Penulis bersama kajian tersebut, Profesor Samuel Turvey, berkata: "Kemungkinan kehilangan dugong di China adalah kerugian yang amat besar."
Ketiadaan haiwan itu bukan sahaja akan memberi kesan pada fungsi ekosistem tetapi ia memberi peringatan bahawa kepupusan boleh berlaku sebelum tindakan pemuliharaan yang berkesan dapat dibangunkan, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.