Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dugaan Ramadan: 12 peniaga alami kerugian apabila khemah jualan diterbangkan ribut

Anggaran Waktu Membaca:

BERA: Hujan lebat berserta angin kuat menyebabkan 12 khemah peniaga di tapak Bazar Ramadan Triang di Bera di daerah barat daya Pahang rosak dipukul ribut, pada petang Rabu (6 Apr). 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, kebanyakan peniaga yang menjual minuman dan juadah berbuka puasa sedang menjalankan urus niaga sebelum keadaan bertukar panik, lapor Astro AWANI. 

Seorang peniaga, Siti Nor Faradila Che Yusof, 36 tahun, berkata juadah kuih yang masih belum habis dijual musnah semuanya dan tidak dapat diselamatkan.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas, sehingga dia bersama peniaga lain hanya mampu menyelamatkan diri tanpa menghiraukan barangan jualan dan peralatan di gerainya.

"Angin ribut datang dari belakang, dan khemah diterbangkan ke hadapan. Tapi pada masa kejadian, peniaga di hadapan sudah pun merendahkan khemah masing-masing. Jadi, khemah kami yang terbang ni turut merosakkan khemah hadapan.

"Tapi memang semuanya musnah. Bukan sahaja juadah tapi ada peralatan yang rosak. Saya pun tak pasti sama ada esok boleh berniaga atau tidak," katanya ketika ditemui oleh Astro AWANI. 

Seorang lagi peniaga, Rohana Waesatapor, 36 tahun, berkata kejadian itu menyebabkan khemah gerainya dihempap khemah yang terbang ditiup angin kencang, sekali gus menyebabkan barangan jualannya turut musnah.

Beliau yang menjual juadah tomyam, memberitahu, semua hidangan musnah kerana meja yang digunakan untuk meletakkan juadah terbalik.

"Alhamdulillah semua selamat tiada yang cedera parah. Tapi kesian pada semua peniaga, semua juadah musnah. Apapun saya reda dengan apa yang berlaku. Ini ujian bagi kami," katanya.

Sementara itu, Fazli Yaakob, 34 tahun, berkata kejadian seumpama ini adalah yang pertama berlaku sepanjang dia berniaga di bazar Ramadan.

Katanya, kira-kira 80 peratus peniaga mengalami kerugian besar apabila banyak juadah musnah, peralatan rosak dan ada yang kehilangan duit hasil berniaga. 

Fazli berkata, walaupun ada peniaga yang memegang tiang khemah bagi mengelak khemah diterbangkan, namun masing-masing tidak mampu bertahan lama.

"Angin terlampau kuat. Mula-mula tu, kami masih boleh menahan dengan pegang tiang khemah. Tapi 'serangan' angin kencang kali kedua tu memang tak boleh buat apa dah.

"Mereka terpaksa lepaskan tiang khemah. Jadi khemah tu diterbangkan ke khemah di hadapan. Masing-masing terpaksa tanggung kerugian cuma tidak pasti lagi jumlah kerugian" ujarnya.

Pembekal khemah, Mohd John Jusa, 52 tahun, berkata, pihaknya turut memantau kawasan itu sebelum kejadian dan mendapati cuaca sangat baik.

Namun, keadaan berubah apabila hujan lebat beserta angin kencang melanda kawasan itu menyebabkan semua khemah mengalami kerosakan, menurut Astro AWANI. 

Katanya, pihaknya terpaksa membuka semula khemah-khemah di tapak Bazar Ramadan berkenaan dan menunggu arahan Majlis Daerah Bera untuk tindakan susulan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan