Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dua varian COVID-19 dari China dikesan di Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Dua varian COVID-19 dari China dikesan di Malaysia

Gambar hiasan virus. (Gambar: AFP)

KUALA LUMPUR: Dua varian COVID-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80 peratus daripada varian yang menular di China ketika ini dikesan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat 31 Disember lepas, terdapat sebanyak 4,148 kes di Malaysia yang dijangkiti varian BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7.

Bagaimanapun, beliau berkata belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan kedua-dua varian.

“Kedua-dua varian ini tergolong sebagai subjujukan Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai Jujukan Dalam Pemantauan (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bagaimanapun, kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes yang tinggi di China,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Isnin (2 Jan). 

Beliau berkata situasi itu akan disemak dari semasa ke semasa apabila terdapat sebarang perubahan ketara yang seterusnya memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam dan ia akan diumumkan dengan segera oleh WHO kepada semua negara anggota serta penduduk dunia secara am.

Varian BF.7, singkatan untuk BA.5.2.1.7, berasal daripada varian Omicron BA.5 dan pertama kali dikesan di dunia pada Julai 2022.

Dr Noor Hisham juga berkata hasil pemantauan genomik SARS-CoV-2 di Malaysia sepanjang Disember 2022 menunjukkan varian XBB mendominasi penularan COVID-19 di negara tersebut.

Varian XBB merangkumi 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang berjaya menjalani penjujukan 17 genom diikuti varian BA.2.75 (20.8 peratus) dan BQ.1 (10.8 peratus).

“Ini menunjukkan bahawa varian XBB masih merupakan varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak bulan Oktober 2022.

“Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian LUM WHO,” katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan