Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dua siswazah di M'sia ini pilih jadi petani; buktikan pendapatan lumayan asal rajin berusaha

Anggaran Waktu Membaca:
TERENGGANU: Bak kata pepatah,`Berbudi kepada tanah, lambat-laun mendapat hasilnya'. Berpegang kepada peribahasa itu, sesiapa sahaja yang bercucuk tanam boleh berjaya mendapatkan pendapatan lumayan asalkan rajin berusaha.

Kisah graduan lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Rahman Mohd Noor yang berjaya membuktikan bahawa hasil tanaman yang diusahakannya di ladang lada di Kampung Padang Landak, Jertih boleh membuatkan dirinya mampu hidup senang dengan pendapatan yang lumayan.

Meskipun orang melihat kerjaya sebagai petani ini kelihatan tidak bergaya dan selekeh, siapa sangka pendapatan mereka mampu mencecah RM80,000 (S$24,188) semusim.

Difahamkan Encik Abdul sebelum ini pernah menerima tawaran bekerja di pejabat kerajaan namun ditolak demi ingin mengusahakan projek penanam cili besar atau nama saintifiknya Capsicum anuum.

“Saya tahu apabila menceburi bidang pertanian risikonya amat besar berbanding bekerja di pejabat dengan gaji tetap setiap bulan, namun ia bukan alasan bagi saya mencapai impian bergelar petani moden yang berjaya.

“Apabila saya tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Sumber dan Alam Sekitar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) saya cuba menjalankan tanaman cili secara komersil dengan berbekalkan ilmu serta tunjuk ajar daripada ayah saya sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di ladang miliknya di Kampung Padang Landak, Jertih.

Sementara itu, seorang lagi graduan, Rohana Alias, 39 tahun, yang mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di Fertigasi Alor Lintang, Besut berkata menceburi bidang pertanian boleh memberikan keseronokan di samping memperoleh pendapatan lumayan.

Menurut Cik Rohana, beliau yang menceburi bidang pertanian hampir 13 tahun lalu dan gembira dengan kerjaya pilihannya itu walaupun tidak ramai graduan wanita sepertinya berminat dalam bidang berkenaan.

“Sememangnya bekerja dalam bidang ini kita tidak berpakaian cantik sebagaimana mereka yang bekerja di pejabat, namun mereka yang bertani ini mempunyai kelebihan tersendiri kerana saya boleh memilih waktu kerja saya sendiri.

“Walaupun mereka hanya melihat kami berpakaian selekeh namun kami masih mampu meraih pendapatan minimum RM20,000 (S$6047) untuk semusim dan kini pasaran MMT yang saya usahakan sudah berkembang ke seluruh negeri ini,” katanya.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan