Skip to main content

Dunia

Dua rakyat Palestin maut, beberapa lagi cedera dalam serangan Israel di Gaza

Dua rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa yang lain cedera pada Isnin dalam serangan Israel di beberapa bahagian Jalur Gaza.

Anggaran Waktu Membaca:
Dua rakyat Palestin maut, beberapa lagi cedera dalam serangan Israel di Gaza

Keadaan selepas serangan Israel di Jalur Gaza. (Gambar: AP/Yousef Alzanoun)

Diterbitkan : 31 Aug 2026 11:56PM
  • Tentera Israel melancarkan serangan di beberapa kawasan Gaza, menyebabkan dua rakyat Palestin terbunuh dan ramai cedera, termasuk nelayan dan remaja.
  • Serangan berlaku walaupun perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan sejak 10 Oktober 2025, dengan pelanggaran berulang oleh Israel.
  • Pasukan perubatan dan penyelamat tempatan bertindak membawa mangsa ke hospital serta memadamkan kebakaran di khemah pelarian.
  • Gesaan antarabangsa, termasuk dari Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, agar serangan dihentikan, namun jumlah korban terus meningkat mengikut data Kementerian Kesihatan Gaza.
Dijana oleh AI
GAZA CITY/ISTANBUL: Dua rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa yang lain cedera pada Isnin dalam serangan Israel di beberapa bahagian Jalur Gaza.

Anadolu Ajansi melaporkan serangan itu berlaku ketika tentera Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata yang dikuatkuasakan sejak Oktober 2025.

Mayat mangsa dan beberapa individu yang cedera dibawa ke Hospital Al-Shifa selepas serangan dron Israel menyasarkan pintu masuk sebuah bangunan kediaman berhampiran Taman Majlis Perbandaran Gaza di pusat bandar Gaza City.

Dalam kejadian berasingan, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan pasukannya membawa lima nelayan yang cedera akibat tembakan kapal perang Israel di luar pantai Gaza City ke Hospital Al-Shifa dan Hospital Lapangan Al-Saraya.

Menurut saksi kepada Anadolu, kapal perang Israel melepaskan tembakan dan membedil bot nelayan ketika mereka menangkap ikan di luar pantai Gaza City.

Di utara Gaza, sumber perubatan di Hospital Al-Shifa mengesahkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun cedera selepas dron Israel melepaskan bom di Beit Lahia.

Di Khan Younis, selatan Gaza, tiga rakyat Palestin cedera ditembak dan dibom oleh dron Israel di kawasan Hamad dan Satr Barat, menurut sumber perubatan.

Sumber tempatan dan saksi turut memberitahu Anadolu bahawa kenderaan tentera serta dron Israel melepaskan tembakan bertali arus ke arah rumah di bandar kediaman Hamad, menyebabkan dua rakyat Palestin cedera.

Pertahanan Awam Palestin pula menyatakan pasukannya berjaya memadamkan kebakaran di dua khemah yang menempatkan pelarian di kawasan Hamad selepas pasukan Israel melepaskan tembakan di situ.

Di Satr Barat, seorang lelaki Palestin cedera terkena serpihan bom yang digugurkan oleh dron Israel.

Sementara itu, di bahagian pusat Gaza, seorang wanita Palestin cedera parah selepas kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan bertali arus di timur Deir al-Balah.

Tembakan itu disusuli bedilan artileri di sekitar kawasan berkenaan, menurut sumber perubatan dan tempatan.

Sumber tempatan turut memberitahu tentera Israel merobohkan bangunan dan kemudahan di kawasan di bawah kawalannya di timur Deir al-Balah.

Serangan terbaharu Israel itu berlaku di sebalik gesaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump supaya serangan di Carikan Gaza dihentikan.

Dalam satu wawancara bersama penyiar Amerika Syarikat Fox News pada 17 Ogos, Encik Trump berkata Israel tidak sepatutnya terus melancarkan serangan ke atas Gaza.

Sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, pelanggaran kesepakatan oleh Israel telah mengorbankan 1,318 rakyat Palestin dan mencederakan 4,375 yang lain.

Pasukan penyelamat turut mengeluarkan ratusan mayat dari bawah runtuhan.

Setakat Ahad (30 Ogos), jumlah rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel di Carikan Gaza sejak Oktober 2023 mencecah kira-kira 73,454 orang.

174,486 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita