Dua pengsan di Hong Kong angkara asap shisha, penguasa kesihatan keluarkan amaran keracunan karbon monoksida

(Gambar: Shutterstock)
HONG KONG: Penguasa kesihatan Hong Kong memberi amaran kepada orang ramai mengenai bahaya dari keracunan karbon monoksida selepas seorang lelaki dan seorang wanita pengsan di tempat terdapat orang yang menghisap shisha.
Pusat bagi Perlindungan Kesihatan pada Isnin malam (20 Feb) menyatakan, dua mangsa, berusia 23 dan 21 tahun itu, dibawa ke Hospital United Christian di Kwun Tong pada Ahad (19 Feb).
Mereka berada dalam keadaan stabil sebelum dipindahkan ke Hospital Pamela Youde Nethersole Eastern di Chai Wan di mana mereka kemudian dibenarkan pulang ke rumah, lapor South China Morning Post.
Menurut pasangan itu kepada anggota paramedik, mereka pengsan selepas mengunjungi tempat di mana terdapat orang ramai menghisap shisha.
Siasatan awal oleh pusat tersebut mendapati arang batu digunakan untuk membakar tembakau dan pintu serta tingkap premis itu tertutup, dengan alat hawa dingin dihidupkan.
Pusat itu mengingatkan orang ramai bahawa karbon monoksida adalah pembunuh senyap kerana ia merupakan gas yang tidak mempunyai warna, bau dan rasa. Ia terhasil daripada pembakaran tidak lengkap sebarang bahan yang mengandungi karbon pada suhu tinggi dan dengan bekalan oksigen yang rendah.
Peralatan membakar bahan api harus digunakan dengan betul dan di tempat yang pengaliran udaranya baik, tambah pusat tersebut lagi.
Mereka yang menghisap shisha lazimnya menyedut lebih banyak toksin berbanding perokok, menurutnya.
"Setiap sesi merokok shisha selama sejam biasanya mendedahkan pengguna itu kepada lebih 100 hingga 200 kali ganda jumlah asap yang disedut berbanding sebatang rokok biasa," dedah pusat tersebut, sambil menggesa orang ramai agar tidak menggunakan peralatan tersebut.
Dr Ludwig Tsoi Chun-hing, seorang pakar perubatan kecemasan, berkata, haba yang digunakan untuk menghisap shisha cukup tinggi untuk mengubah karbon dioksida di dalam bilik tertutup kepada karbon monoksida.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.