Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dua pemuda Muslim warga Austria dipuji atas tindakan berani bantu mangsa serangan Vienna

Dua pemuda rakyat Austria dipuji atas keberanian mereka menyusuli serangan tembakan pada Isnin (2 Nov) di ibu kota Vienna, selepas rakaman menunjukkan mereka memberi bantuan kepada orang-orang yang cedera termasuk seorang pegawai polis, tersebar di media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Dua pemuda Muslim warga Austria dipuji atas tindakan berani bantu mangsa serangan Vienna

Recep Gultekin (kanan) dan Mikail Ozen (kiri) dijemput ke kedutaan Turki di Vienna bagi mengiktiraf tindakan berani mereka. (Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 04 Nov 2020 08:41AM Dikemas Kini : 04 Nov 2020 08:46AM

VIENNA: Dua pemuda rakyat Austria dipuji atas keberanian mereka menyusuli serangan tembakan pada Isnin (2 Nov) di ibu kota Vienna, selepas rakaman menunjukkan mereka memberi bantuan kepada orang-orang yang cedera termasuk seorang pegawai polis, tersebar di media sosial.

Satu rakaman video yang diambil dari sebuah bangunan berhampiran menunjukkan kedua-dua pemuda itu berlari ke arah pintu keluar stesen kereta api dan membantu orang ramai yang lalu di situ mendapatkan perlindungan - sedang bunyi tembakan masih kedengaran di jalanan.

Pada Selasa (3 Nov), kementerian dalam negeri mengesahkan, tanpa mendedahkan nama dua rakan itu, bahawa mereka telah menghulurkan bantuan semasa serangan pada Isnin oleh seorang lelaki muda radikal dari Macedonia Timur.

Penyerang itu membunuh empat orang sebelum ditembak mati oleh polis.

Mikail Ozen dan Recep Tayyip Gultekin, kedua-dua warga Austria dengan latar belakang Turki, merancang untuk "minum kopi untuk kali terakhir" bersama di kawasan sibuk Schewdenplatz sebelum sekatan pergerakan COVID-19 berkuat kuasa, kata mereka dalam satu rakaman video yang dimuat naik serta merta selepas serangan itu.

Bunyi tembakan pertama kedengaran ketika mereka tiba di dataran sibuk di tepi sungai itu dan mendapati "beberapa orang terlantar di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah," kata Encik Ozen.

Ketika mereka mahu membantu seorang wanita warga emas dalam keadaan cemas yang sedang mencari tempat untuk bersembunyi, mereka juga menemui seorang pegawai polis yang cedera dan terlantar di atas lantai.

"Kami tidak boleh berpura-pura tidak melihatnya," kata Encik Ozen. "Kami berlari dan membawanya ke ambulans" dengan memapahnya sedang serangan tembakan berterusan.

Kedua-dua ahli seni bela diri separuh profesional itu membuat seruan bagi perpaduan antara penganut "Yahudi, Kristian dan Islam" yang mendapat liputan meluas saluran-saluran media Austria.

"Kami orang Muslim asal Turki, kami membencikan sebarang bentuk pengganasan. Kami bersatu dengan Austria, dengan Vienna, kami menghormati Austria," kata kedua-duanya dalam rakaman video itu.

Media Turki melaporkan bahawa Presiden Recep Tayyip Erdogan telah menghubungi kedua-duanya untuk mengucapkan tahniah kepada mereka.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan