Dua pelancong Malaysia parah, dibakar penganggur di Bangkok
Dua pelancong Malaysia cedera parah selepas dibakar oleh seorang penganggur di Jalan Ratchadamri di Bangkok, sekitar pukul 10.00 malam pada Khamis (7 Ogos).
Petikan skrin video kejadian dan suspek yang ditahan. (Gambar: Sumber web)
Dalam kejadian tersebut, suspek lelaki itu dikatakan secara tiba-tiba menuang cecair pencair dari arah belakang ke atas dua rakyat Malaysia – seorang lelaki, Ong, 26 tahun, dan seorang wanita, Gan, 27 tahun – yang ketika itu sedang duduk di anak tangga pusat beli-belah Big C.
Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata beliau sudah melawat mangsa yang kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
Kata beliau, Encik Ong dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Besar Polis, manakala Cik Gan menerima rawatan di Hospital Peringatan Raja Chulalongkorn.
“Ong mengalami lecur tahap kedua di bahagian atas badan, depan dan belakang. Kecederaannya serius tetapi tidak mengancam nyawa.
“Gan mengalami 36 peratus lecur tahap kedua, namun, keadaannya stabil dan sedar,” kata Encik Bong kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata pihak kedutaan sudah menghubungi keluarga Encik Ong dan Cik Gan untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Lumpini Kolonel Polis Yingyos Suwanno berkata suspek berusia 30 tahun dari Wilayah Sa Kaeo itu didakwa menyerang mangsa akibat kecewa kerana menganggur sebelum cuba melarikan diri tetapi ditangkap oleh orang awam berhampiran lokasi kejadian.
Menurut Encik Yingyos, suspek kini ditahan di Balai Polis Lumpini sementara siasatan terhadap motif serangan diteruskan dan pihak polis dijangka mengambil keterangan daripada mangsa sebaik sahaja keadaan mereka stabil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.