Skip to main content

Dunia

Dua pegawai imigresen M'sia ditahan bantu siasatan kes seludup pendatang tanpa izin

Anggaran Waktu Membaca:
ISKANDAR PUTERI: Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sindiket menyeludup pendatang tanpa izin yang disenarai hitam untuk kembali memasuki Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata dua individu itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 27 tahun dan bertugas di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, Johor.

Beliau berkata JIM sebelum ini menumpaskan satu sindiket menyeludup pendatang tanpa izin, dikenali sebagai sindiket Ah Chong, menerusi operasi di Larkin Sentral dan KSAB kira-kira 1.30 tengah hari Rabu (12 Okt).

"Turut ditahan 25 pendatang tanpa izin warga Indonesia melibatkan 13 lelaki dan 12 wanita berserta dua tekong warga tempatan berusia 34 dan 49 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pengangkut (transporter)," katanya semasa sidang media di Laluan Keluar Bas dan Lori di KSAB pada Rabu.

Beliau menambah sindiket itu disyaki aktif sejak sempadan antarabangsa Malaysia dibuka April lalu, dengan menyasarkan pendatang tanpa izin yang disenarai hitam daripada memasuki Malaysia.

Encik Khairul Dzaimee berkata sindiket itu mengenakan bayaran antara RM5,000 (S$1,530) hingga RM8,000 ($2,450) seorang dan dianggarkan, ia sudahpun membawa masuk sekurang-kurangnya 600 pendatang tanpa izin dengan mengaut keuntungan lebih RM2.5 juta (S$764,800).

"Dalam operasi ini, kita berjaya menahan dua tekong dan 25 warga Indonesia yang memasuki negara ini melalui Singapura. Modus operandi sindiket ini adalah dengan membawa masuk pendatang tanpa izin melalui LinKedua, sebelum dua pegawai imigresen di KSAB yang terlibat melepaskan mereka tanpa sebarang pemeriksaan sebelum dibawa ke Larkin Sentral menggunakan bas."

"Di Larkin Sentral, terdapat satu bilik khas disediakan sindiket untuk memberikan cop palsu kepada pasport milik kesemua pendatang tanpa izin itu bagi mengaburi mata pihak penguasa dan selepas itu mereka akan dibawa menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur," terangnya.

"Pihak Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran," tegasnya.

 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita