Dua lelaki Palestin bersenjata tembak mati enam orang di perhentian bas di Baitulmakdis
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melawat tapak serangan tembakan yang dilakukan oleh dua penembak Palestin, di mana beberapa orang terbunuh dan yang lain cedera di perhentian bas di Baitulmakdis pada 8 September 2025. (Gambar: AP/Mahmoud Illean)
Rakaman dari kamera dalam kereta di tempat kejadian di Ramot Junction menunjukkan orang ramai melarikan diri dari sebuah bas di tepi jalan ketika tembakan dilepaskan. Polis Israel menyatakan penyerang ditembak mati di tempat kejadian oleh seorang askar dan seorang orang awam bersenjata.
"Tiba-tiba saya dengar tembakan bermula... Saya rasa seperti saya tidak berhenti berlari," kata Ester Lugasi, yang cedera dalam serangan itu, kepada TV Israel dari hospital. "Saya ingatkan saya akan mati."
Perkhidmatan ambulans mengenal pasti lima daripada mangsa sebagai seorang lelaki berusia 50 tahun, seorang wanita berusia 50-an dan tiga lelaki berusia 30-an. Ia menambah enam orang lain berada dalam keadaan serius dengan luka tembakan. Polis menyatakan lebih 20 orang cedera.
Menteri Luar Israel Gideon Saar berkata kemudian seorang mangsa keenam meninggal dunia dan lelaki bersenjata itu adalah warga Palestin dari Tebing Barat yang diduduki Israel.
Dalam satu kenyataan kemudian oleh tentera Israel pada Isnin, Ketua Turus Am, Eyal Zamir dipetik sebagai berkata bahawa beliau sudah mengarahkan penutupan penuh kawasan dari mana lelaki bersenjata itu datang.
Kementerian luar Sepanyol menyatakan seorang warga Sepanyol adalah antara yang terbunuh dan mengecam serangan itu. Perancis, EU dan Amiriah Arab Bersatu juga mengeluarkan kenyataan kecaman.
Serangan tembakan itu berlaku di tengah-tengah hampir dua tahun perang di Gaza, di mana kempen Israel terhadap kumpulan Hamas meninggalkan wilayah itu dalam kemusnahan. Di Tebing Barat, rakyat Palestin berdepan sekatan ketenteraan yang ketat dan lonjakan serangan oleh peneroka Yahudi.
"Pagi yang menyakitkan dan sukar. Orang awam yang tidak bersalah, wanita, lelaki, dan kanak-kanak dibunuh dan dicederakan dengan kejam di sebuah bas di Baitulmakdis oleh pengganas keji dan jahat," tegas Presiden Israel Isaac Herzog sambil mengulas mengenai serangan itu.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengeluarkan kenyataan yang mengecam "sebarang sasaran orang awam Palestin dan Israel".
Tetapi Hamas memuji dua "pejuang penentang" Palestin yang dikatakannya melakukan serangan tersebut dan Jihad Islam, iaitu satu lagi kumpulan Palestin, juga memuji serangan tembakan itu. Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab.
KEHADIRAN POLIS
Bercakap di tempat kejadian serangan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata pasukan Israel sedang memburu suspek yang membantu mereka.
Polis Israel menyatakan kedua-dua penyerang tiba dengan kereta dan melepaskan tembakan di perhentian bas di Ramot Junction, sebuah kawasan yang merangkumi sebahagian dari Baitulmakdis yang ditawan oleh Israel dalam perang 1967 dan kemudian diduduki dalam tindakan yang tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kebanyakan negara.
Beberapa senjata api, peluru dan pisau yang digunakan oleh penyerang ditemui di tempat kejadian dan seorang suspek dari Baitulmakdis Timur yang disyaki terlibat dalam serangan tembakan itu sudah ditahan, menurut polis.
Rakaman Reuters menunjukkan kehadiran banyak polis di kawasan Ramot selepas serangan tembakan. Perkhidmatan ambulans menyatakan seorang paramedik yang tiba di tempat kejadian melaporkan bahawa beberapa mangsa terbaring di jalan dan kaki lima, sebahagian daripadanya tidak sedarkan diri.
Tentera Israel menyatakan pihaknya mengerahkan askar ke kawasan itu yang membantu polis dalam mencari suspek. Askar juga beroperasi di kawasan Ramallah di Tebing Barat untuk menjalankan soal siasat dan "mematahkan keganasan," katanya.
Lebih 64,000 rakyat Palestin sudah terbunuh oleh tentera Israel di Gaza sejak perang bermula pada Oktober 2023, kata pegawai kesihatan Gaza. Perang itu dicetuskan oleh serangan yang dipimpin Hamas ke atas Israel yang membunuh sekitar 1,200 orang, sementara 251 lagi ditawan ke Gaza, menurut perangkaan Israel.
Terdapat beberapa serangan tembakan dan tikaman yang menyasarkan orang awam dan askar Israel di Israel dan Tebing Barat yang dilakukan oleh rakyat Palestin sejak perang Gaza bermula.
Pada Oktober 2024, dua rakyat Palestin, seorang bersenjata dengan pistol dan seorang lagi dengan pisau, membunuh tujuh orang di Tel Aviv. Pada November 2023, dua lelaki bersenjata Palestin membunuh tiga orang di sebuah perhentian bas di Baitulmakdis. Perkhidmatan keselamatan Israel menyatakan bahawa penyerang dalam serangan tembakan di Baitulmakdis itu dikaitkan dengan Hamas.
Seorang lelaki bersenjata Palestin membunuh tujuh orang di sebuah saumaah di Baitulmakdis pada Januari 2023.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.