Skip to main content

Dunia

Dua lelaki Bangladesh maut dihempap kotak kurma

Dua lelaki warga Bangladesh maut selepas dihempap kayu alas dan timbunan kotak berisi buah kurma di sebuah gudang di Lorong Perindustrian Bukit Minyak, hari ini (5 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Dua lelaki Bangladesh maut dihempap kotak kurma

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 May 2019 09:27PM Dikemas Kini : 05 May 2019 09:30PM

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki warga Bangladesh maut selepas dihempap kayu alas dan timbunan kotak berisi buah kurma di sebuah gudang di Lorong Perindustrian Bukit Minyak, hari ini (5 Mei).

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 40-an tahun yang bekerja di gudang berkenaan maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah apabila kotak kurma yang disusun tiga tingkat runtuh.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 11.00 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba Penyelamat Perda ke lokasi kejadian.

"Pihak kami menerima laporan memaklumkan terdapat dua pekerja gudang milik sebuah syarikat kurma dihempap kayu alas dan kotak yang berisi buah kurma.

"Sebaik kami tiba di lokasi kejadian mendapati dua pekerja itu tidak sedarkan diri dan mereka sudah di tarik keluar dari timbunan kayu serta kotak kurma oleh pekerja lain yang berada di gudang berkenaan," katanya hari ini.

Jurucakap itu berkata dua lelaki Bangladesh berkenaan di sahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang berada di gudang berkenaan.

Katanya berdasarkan maklumat awal, kayu alas dan kotak kurma berkenaan yang disusun tiga tingkat runtuh semasa kerja mengeluarkan kotak tersebut dari rak lalu menghempap dua pekerja itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid ketika di hubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata mayat dua lelaki itu di hantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Katanya setakat ini pihaknya menyifatkan kes itu sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Sumber : Bernama/NA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita