Dua beradik hidup mewah meski menganggur, rupanya edar dadah
Kehidupan mewah dua beradik yang memiliki wang tunai berjumlah RM180,316 (S$ 58,278) dan simpanan RM258,116 (S$ 83,423) di tiga bank, walaupun masing-masing tidak bekerja, membongkar kegiatan mengedar dadah dilakukan mereka.
(Gambar hiasan: MART PRODUCTION/Pexels)
KUANTAN: Kehidupan mewah dua beradik yang memiliki wang tunai berjumlah RM180,316 (S$ 58,278) dan simpanan RM258,116 (S$ 83,423) di tiga bank, walaupun masing-masing tidak bekerja, membongkar kegiatan mengedar dadah dilakukan mereka.
Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata kesemua wang itu dipercayai hasil menjual dadah serta suspek berumur 40 dan 43 tahun itu juga dipercayai memiliki sebuah pacuan empat roda Ford Ranger Raptor bernilai RM210,000 (S$ 67,872) yang digunakan untuk mengedar dadah tersebut.
Beliau berkata polis menahan mereka berhampiran Plaza Tol Kuantan pada 11.30 malam Isnin (6 Dis) lalu, yang membawa kepada pemeriksaan di dua rumah masing-masing di KotaSAS dan Felda Panching Utara dan menemukan wang tunai serta dadah pelbagai jenis.
"Pemeriksaan di rumah di KotaSAS menemukan sebuah beg berisi heroin seberat 4.1 kilogram (kg), syabu (1.3 kg), 4,200 pil yaba dan 1,700 pil Erimin 5 manakala wang tunai itu ditemukan di dalam bilik sebuah lagi rumah di Felda Panching Utara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang hari ini (10 Dis).
Ramli berkata suspek dipercayai memperoleh dadah itu dari Lembah Klang dengan jumlah dadah yang ditemukan itu boleh dijual kepada lebih 10,000 penagih.
Beliau berkata ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga didapati negatif, namun mereka mempunyai 15 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Suspek direman selama tujuh hari hingga 13 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.