Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik jadi Menteri di Jabatan PM; mufti pertama duduki Kabinet M'sia
Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, melakar sejarah tersendiri selepas menjadi mufti pertama di Malaysia yang diumumkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (Gambar: Instagram)
KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, melakar sejarah tersendiri selepas menjadi mufti pertama di Malaysia yang diumumkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman senarai kabinet menteri bagi kerajaan baru pimpinannya di Putrajaya pada Isnin (9 Mac).
Dr Zulkifli menerusi ciapan di Twitternya meminta rakyat terus mendoakan agar beliau diberi kekuatan untuk memikul amanah dan kepercayaan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
“Babak Pertama, Episod Baharu - Doakan saya, bantu saya dan berilah pandangan kepada saya. Kita teruskan legasi pemimpin terdahulu, membina negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, dalam keredhaan-Nya,” tulis beliau dalam satu catatn di Twitternya sebaik selepas pelantikannya sebagai menteri diumumkan.
Dalam ciapan Twitter yang sama, beliau juga sempat berkongsi kegiatannya iaitu menjalankan rutin biasa, menyampaikan kuliah maghrib bulanan di Masjid Slim River, Perak.
Dr Zulkifli, 51 tahun - dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan sejak 2014 itu, terkenal sebagai seorang agawaman yang merendah diri dan amat disenangi masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama.
Beliau yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah, Ijazah Sarjana Syariah daripada Universiti Ulum al-Islamiyyah wa al-Arabiyyah, Syria, dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengkhususan pengeluaran Fatwa itu begitu disegani malah menjadi pakar rujuk dalam pelbagai isu agama.
Dr Zulkifli juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2012 di Peringkat Wilayah Persekutuan, Tokoh Maal Hijrah 2014 di Peringkat Negeri Terengganu dan Ikon Integriti & Anti Rasuah 2019 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau turut menghasilkan beberapa penulisan buku keagamaan seperti Bayan Linnas, Irsyad Fatwa dan Irsyad Usul Fiqh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.