Dr Wan Azizah: Kemelut 1MDB kerana kegagalan pucuk pimpinan dahulu
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai kesan kegagalan kepimpinan kerajaan terdahulu.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah. (Gambar: BERNAMA)
PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai kesan kegagalan kepimpinan kerajaan terdahulu.
Sambil memberi beberapa contoh insiden kegagalan kepimpinan dunia, beliau berkata, meskipun terdapat peraturan dan undang-undang sedia ada di negara ini, skandal seperti itu berlaku disebabkan individu-individu berkaitan tidak mengikut 'suara hati' mereka dan menjadi tamak, lapor Utusan Online.
"Banyak krisis dan skandal yang berlaku di dunia ini adalah hasil daripada kegagalan kepimpinan yang teruk. Misalnya, di Amerika Syarikat (AS) kita dapat melihat skandal penyelewengan Enron, krisis subprime dan di negara ini kita ada skandal 1MDB.
"Walaupun terdapat pelbagai mekanisme termasuk peraturan dan undang-undang sedia ada namun semua itu gagal disebabkan individu tertentu di sebalik krisis-krisis ini tidak mendengar suara hati mereka dan menjadi tamak.
"Semua kegagalan ini berlaku kerana orang atasan mahu mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat," katanya ketika berucap di satu acara sidang puncak hari ini (25 Jun).
Utusan Online melaporkan, Dr Wan Azizah selanjutnya menggesa supaya para pemimpin berpegang teguh kepada nilai-nilai murni apabila membuat keputusan untuk negara.
"Kami memerlukan pemimpin yang mempunyai hati nurani dan komited berpegang kepada Matlamat-matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," tambahnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.