Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Wan Azizah digesa pegang jawatan Ketua Umum PKR

Hari ini adalah antara hari-hari terakhir Dr Wan Azizah Wan Ismail memegang jawatan sebagai Presiden PKR, namun terdapat desakan daripada perwakilan yang mahu Timbalan Perdana Menteri wanita pertama itu memegang jawatan penting dalam parti.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Wan Azizah digesa pegang jawatan Ketua Umum PKR

Gambar fail Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa wawancara dengan Mediacorp.

Diterbitkan : 17 Nov 2018 04:32PM Dikemas Kini : 17 Nov 2018 04:34PM

SHAH ALAM: Hari ini adalah antara hari-hari terakhir Dr Wan Azizah Wan Ismail memegang jawatan sebagai Presiden PKR, namun terdapat desakan daripada perwakilan yang mahu Timbalan Perdana Menteri wanita pertama itu memegang jawatan penting dalam parti.

Perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Encik Zahir Hassan ketika membahaskan ucapan dasar presiden mahu PKR menubuhkan Majlis Penasihat Parti yang dianggotai oleh tokoh-tokoh besar parti berkenaan termasuk Dr Wan Azizah dan Dr Syed Husin Ali.

"Ia adalah sebagai pengiktirafan kepada Dr Wan Azizah yang sudah menerajui parti dan berbesar hati menyerahkannya kepada Encik Anwar Ibrahim. Ia juga sebagai mengiktiraf tokoh-tokoh ini yang banyak berjasa kepada parti," katanya sambil disambut dengan sorakan para perwakilan yang menghadiri Kongres Nasional Keadilan ke-13 hari ini (17 Nov).

Perwakilan dari Sabah, Encik Mohd Amin Abdul Mem mencadangkan agar Dr Wan Azizah, yang lebih mesra dipanggil Kak Wan, dilantik memegang jawatan Ketua Umum parti berkenaan.

"Akhir sekali, saya mengusulkan agar sidang kongres ini menerima (hasrat) supaya kita angkat 'Kak Wan' sebagai Ketua Umum Parti Keadilan yang baharu dan meminta agar semua menyokong," katanya.

Dr Wan Azizah merupakan presiden pertama parti yang ditubuhkan pada 1999 menggunakan nama Parti Keadilan Nasional (Keadilan), sebuah parti pelbagai kaum yang membawa agenda perubahan dan perjuangan reformasi.

Ketua Umum Encik Anwar Ibrahim bakal diumumkan sebagai presiden secara rasmi esok selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan PKR kali ini.

Sementara itu, perwakilan dari Kedah, Encik Zulkifli Mohamad membangkitkan isu manifesto dalam membela nasib nelayan, petani dan pekebun.

Katanya kerajaan tidak sepatutnya menjadikan hutang negara yang tinggi sebagai alasan untuk tidak melaksanakan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat.

"Menteri tidak apalah kerana bukan mereka berhadapan dengan orang kampung dan perlu menjawab. Kami merayu supaya pemimpin jagalah janji, kalau tidak boleh bagi 10, enam atau tujuh janji manifesto (ditunaikan) pun boleh supaya dapat sampaikan kepada masyarakat.

"Ingatlah, tangan mereka yang menyokong dan mengangkat kita sehingga ke tahap ini. Jangan beri alasan bahawa hutang negara penyebab Pakatan Harapan gagal menunaikan manifesto Pilihan Raya ke-14 (PRU14)," katanya. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan