Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Wan Azizah akui pernah ditawar jadi Perdana Menteri M'sia

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengaku pernah ditawarkan menjadi Perdana Menteri negara itu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Wan Azizah akui pernah ditawar jadi Perdana Menteri M'sia

Gambar fail Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa wawancara dengan Mediacorp.

Diterbitkan : 10 Oct 2018 04:21PM Dikemas Kini : 10 Oct 2018 04:24PM

JAKARTA: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengaku pernah ditawarkan menjadi Perdana Menteri negara itu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Pertama kali berkongsi pengalaman berkenaan kepada kira-kira 200 rakyat Malaysia di Indonesia sempena lawatan kerja pertamanya ke negara itu, Dr Wan Azizah berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memberi tawaran itu memandangkan beliau ialah Presiden PKR.

“Bagaimanapun, saya menolak tawaran itu kerana kita berpegang kepada janji bahawa Dr Mahathir Mohamad akan menjadi Perdana Menteri dan saya menjadi Timbalan Perdana Menteri,” kata beliau.

Mengakui PH tidak menyangka dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun, Dr Wan Azizah melahirkan rasa syukur pertukaran kerajaan selepas PRU14 dapat dijalankan secara demokratik dan aman.

Beliau bagaimanapun berkata PH turut tidak menyangka kerajaan diambil alih, ditinggalkan dalam keadaan jumlah hutang begitu besar dan sistem yang parah.

Justeru, walaupun beberapa janji dalam manifesto PH pada PRU14 belum dapat ditunaikan, beliau memohon kepada rakyat Malaysia supaya bersabar sebelum kerajaan membawa perubahan yang diinginkan rakyat.

Menjawab soalan sama ada kerajaan akan menilai menteri-menteri baru dan menukar mereka yang tidak menunjukkan prestasi baik, Dr Wan Azizah berkata masih terlalu awal untuk membuat penilaian memandangkan baru lima bulan PH mengambil alih pentadbiran kerajaan.

“Beri kami sedikit masa kerana kami masih dalam ‘learning curve’ (keluk pembelajaran),” kata beliau sambil berkata bahawa Perdana Menteri memberi amaran keras kepada jemaah menteri setiap kali mempengerusikan mesyuarat Kabinet supaya jangan sesekali terlibat dengan rasuah.

Menurut Dr Wan Azizah, hanya segelintir anggota jemaah menteri mempunyai pengalaman luas dalam urusan pentadbiran kerajaan iaitu Dr Mahathir dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, manakala Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dr Wan Azizah turut berkongsi kebanggaannya menjadi wanita pertama mempengerusikan mesyuarat Kabinet baru-baru ini, berikutan ketiadaan Dr Mahathir yang mengadakan lawatan ke luar negara.

Dr Wan Azizah mengadakan lawatan kerja sehari ke Indonesia pada Selasa (9 Okt), iaitu lawatan pertamanya ke negara itu selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri Malaysia pada 21 Mei lalu.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan