Skip to main content

Dunia

Dr Siti Hasmah diberi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara

Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara, menurut Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Isnin (28 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Siti Hasmah diberi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara

Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali (kanan) pada satu acara di Kuala Lumpur pada 27 Mac 2010. (Gambar fail: REUTERS/Bazuki Muhammad)

Diterbitkan : 28 Sep 2026 12:55PM Dikemas Kini : 28 Sep 2026 01:43PM
Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara, menurut Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Isnin (28 Sep).

Menerusi catatan di Facebook, PM Anwar berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan pengebumian Dr Siti Hasmah.

"Bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Almarhumah Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi tadi," menurut catatan itu.

Encik Anwar berkata negara tetap mengenang sifat keibuan dan menghargai jasa Almarhumah.

"NEGARA KEHILANGAN SOSOK YANG DEKAT DI HATI RAKYAT"

Dalam satu lagi catatan, Encik Anwar berkongsi kenangan peribadinya mengenai Dr Siti Hasmah, yang mesra disapa sebagai "Kak Hasmah".

Beliau berkata beliau dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, amat berdukacita menerima berita pemergian Dr Siti Hasmah pagi tadi.

"Kami mengenali Almarhumah sebagai Kak Hasmah, seorang yang lembut tutur katanya, namun teguh dan kuat semangatnya, serta sentiasa mengambil berat terhadap mereka di sekelilingnya dengan kasih sayang seorang ibu," katanya.

Menurut Encik Anwar, negara kehilangan seorang tokoh yang dekat di hati rakyat.

Beliau berkata Dr Siti Hasmah akan terus dikenang dengan penuh kasih sayang, selain segala jasa dan kebaikan yang ditinggalkannya.

Encik Anwar dan Dr Wan Azizah turut menyampaikan ucapan takziah kepada Dr Mahathir dan seluruh keluarga serta mendoakan agar Almarhumah diampunkan dan segala amal baiknya diterima.

MENINGGAL DUNIA PADA USIA 100 TAHUN

Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi Isnin pada usia 100 tahun.

Pemergiannya disahkan anaknya Mokhzani Mahathir kepada Bernama.

Beliau meninggalkan Dr Mahathir dan tujuh orang anak.

Dr Siti Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan dikenali atas sumbangannya dalam bidang perubatan serta kebajikan masyarakat.

Beliau juga memperjuangkan isu kesihatan awam, perancangan keluarga dan beberapa isu sosial sepanjang hayatnya.
Sumber : Others/Facebook/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita