Skip to main content

Dunia

Dr S. Streram yakin menang PRK DUN Rantau

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram, yakin akan dapat merampas kerusi DUN itu daripada Barisan Nasional pada Sabtu nanti (13 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Dr S. Streram yakin menang PRK DUN Rantau

Dr S. Streram. (Bernama)

Diterbitkan : 07 Apr 2019 08:23PM Dikemas Kini : 07 Apr 2019 08:26PM

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram, yakin akan dapat merampas kerusi DUN itu daripada Barisan Nasional pada Sabtu nanti (13 Apr).

Beliau berkata ini berdasarkan sokongan pengundi yang beliau terima melalui kempen rumah ke rumah, di tempat awam (pasar dan kedai makan), ceramah dan beberapa program lain.

"Hari ini sudah masuk hari kelapan berkempen dan saya dapati sokongan masyarakat terhadap saya begitu menggalakkan. Saya yakin kita boleh menang jika jentera kita melipat-gandakan usaha untuk meraih sokongan pengundi.

Dengan sokongan kuat yang saya dapat, saya yakin PH akan menang kerusi DUN Rantau,” katanya kepada pemberita selepas bertemu Team Rapid Election Force Akademi Kepimpinan dan Pengurusan PKR di sini hari ini (7 Apr).

Beliau berkata setakat ini program kempennya meliputi 70 peratus dan akan bertambah rancak untuk baki 30 peratus sehingga hari mengundi pada Sabtu ini.

Di Rantau, kata beliau, terdapat banyak masalah yang masih belum diselesaikan seperti isu tanah orang Melayu, kubur di Kampung Bemban, liputan internet yang tidak memuaskan, banjir dan sebagainya.

"Saya harap agar pengundi memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat dan berusaha menyelesaikan segala masalah yang dihadapi," katanya.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Streram, Encik Mohamad dan dua calon bebas iaitu suri rumah Cik R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Encik Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Encik Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita