Skip to main content

Dunia

Dr Mahathir terima jika dilantik sebagai PM M'sia buat kali ketiga

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir terima jika dilantik sebagai PM M'sia buat kali ketiga

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Sep 2022 10:07PM Dikemas Kini : 24 Sep 2022 10:48PM
KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad memaklumkan beliau sedia untuk kembali dilantik menjadi perdana menteri bagi kali ketiga, sekiranya terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau sebenarnya mahu memilih untuk berehat dan hanya memainkan peranan sebagai penasihat.

Namun, katanya jika terus menerima desakan, beliau tidak keberatan untuk menjadi perdana menteri sekali lagi, lapor BH Online.

"Kalau desakan demi desakan datang, saya nak fikirkan tentang diri sendiri susah. Jadi kalau terus (ada) desakan dan tak ada orang lain (boleh dilantik sebagai Perdana Menteri), saya terima," katanya.

Jawapan spontan itu diberikan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) ketika program 'Hard Talk with Dr Mahathir' di Pusat Konvensyen Bangi, yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi PEJUANG.

Beliau bagaimanapun berkata, PEJUANG tidak ditubuhkan untuk memenuhi agenda mengangkatnya semula sebagai perdana menteri, lapor BH Online.

"Saya tidak menubuhkan PEJUANG untuk jadi perdana menteri kali ketiga. Itu bukan niat saya. Saya cuma hendak tentukan dasar yang menolong orang Melayu dapat dilaksanakan oleh kerajaan yang prihatin, yang sayang kepada bangsa, negara dan agama," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu turut memaklumkan, sekiranya dilantik sekali lagi, berkemungkinan beliau tidak akan memegang jawatan itu dalam tempoh lama mengambil kira keadaan semasanya.

Bahkan, beliau turut memberi bayangan tidak tertumpu kepada jawatan berkenaan, sebaliknya hasratnya untuk berehat daripada arena politik dengan cuma memainkan peranan sebagai pakar rujuk dan memberikan nasihat berkaitan tadbir urus negara.

Dalam pada itu, beliau turut menegur kepincangan tadbir urus kerajaan hari ini, salah satunya disebabkan pemimpin yang tidak layak termasuk tidak mempunyai kelulusan tinggi dilantiksebagai menteri.

"Waktu saya mula terbabit dengan UMNO, saya buat cadangan yang nak jadi calon mesti lulus sekolah standard tertentu, tetapi ramai marah sebab yang tidak ada kelulusan pun nak jadi calon.

"Tetapi (sekarang ini), yang tidak ada kelulusan apa pun boleh jadi menteri," katanya yang kesal kerana trend semasa yang memperlihat calon popular dan meraih sokongan ramai, biasanya diangkat sebagai calon dalam pilihan raya.

Tegasnya, pemilihan sedemikian yang mengakibatkan kualiti pentadbiran dalam kerajaan menurun.

"Saya yakin kalau kita diserang krisis kewangan, tiada siapa boleh laksanakan. Satu daripadanya kerana kualiti pemimpin sudah merosot kerana kita tidak boleh tentukan orang yang dipilih terdiri daripada orang yang ada kelulusan tertentu.

"Kalau tak diberi (jawatan) kepada orang ini, dia akan sabotaj kita, inilah masalah yang kita hadapi," katanya.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita